Ujian kendiri Covid-19 guru: Kos dan logistik perlu diteliti - Utusan Malaysia

Ujian kendiri Covid-19 guru: Kos dan logistik perlu diteliti

SULAIMAN Md. Ali dalam sidang akhbar Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2021 di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelaksanaan ujian Covid-19 secara mingguan menggunakan kit ujian kendiri oleh para guru di negeri ini boleh dilaksanakan sekiranya semua aspek berbangkit dapat dipenuhi dengan baik. 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pihak bertanggungjawab untuk meneliti semua aspek termasuk kos dan logistik. 

“Pelaksanaan ini (kit ujian kendiri Covid-19) adalah satu cadangan yang baik, tetapi, kita kena berbincang dahulu, lihat implikasi kos peralatan dan dari segi logistiknya. 

“Sekiranya ada pihak yang boleh menguruskannya, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengalu-alukan inisiatif ini,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2021 di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, hari ini. 

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh mencadangkan agar para pendidik di negeri ini melaksanakan ujian Covid-19 menggunakan kit ujian kendiri yang kini berharga RM5.90. 

Pada 2 Disember lalu, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar merekodkan kes pertama positif Covid-19 membabitkan seorang pelajar perempuan tingkatan lima.

Kes terbabit bagaimanapun berjaya dikawal dan pelajar berkenaan telah dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh di sini.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini memberitahu, pihaknya sedang mengumpul maklumat diperlukan dan menggalakkan para guru menjalankan ujian tersebut atas dasar inisiatif serta rasa tanggungjawab masing-masing. 

“Setakat ini kita memang tidak ada peruntukan untuk menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 ini kepada para guru, namun saya percaya ujian berkala ini tidaklah menelan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM23.60 untuk sebulan. 

“Inisiatif ini diketengahkan demi memastikan institusi pendidikan negara kita, khususnya di negeri ini menjadi tempat selamat dan terhindar daripada wabak berkenaan,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN