PUTRAJAYA: Vaksin Covid-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany diluluskan untuk pemberian dos penggalak (booster dose).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan bersyarat itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-365 yang bersidang hari ini.
Kata beliau, pemberian dos penggalak itu perlu sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua untuk golongan berumur 18 tahun dan ke atas.
“Vaksin Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun lalu.
“Ini merupakan vaksin Covid-19 pertama diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin berkenaan dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
Katanya, ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.
“KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD,” katanya. -UTUSAN ONLINE