Perkeso harap pekerja bangkit bina kehidupan semula - Utusan Malaysia

Perkeso harap pekerja bangkit bina kehidupan semula

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap tenaga kerja negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu dapat bangkit dan kembali membina kerjaya mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, usaha itu penting demi kehidupan dan masa depan mereka sendiri.

“Saya yakin dengan pelbagai usaha yang dilakukan oleh Kerajaan termasuk yang dilaksanakan oleh Perkeso serta pencapaian kadar vaksinasi rakyat yang tinggi, akan dapat merancakkan kembali ekonomi negara.

“Harapan saya hanya satu iaitu melihat tenaga kerja negara dapat bangkit dan kembali membina kerjaya untuk kehidupan dan masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun Jubli Emas pertubuhan itu semalam.

Beliau berkata, Perkeso diberikan mandat besar oleh kerajaan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif membantu para pekerja dan ia telah dapat dilaksanakan dengan baik.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh pertubuhan itu dalam membantu majikan dan pekerja ialah Program Subsidi Upah (PSU), Penjana Kerjaya, SIP Prihatin, PenjanaGig, SPS Lindung dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

Katanya, Perkeso juga melaksanakan inisiatif sendiri iaitu Program Saringan Prihatin untuk membantu kerajaan mengekang penularan pandemik.

Beliau turut menegaskan bahawa perlindungan keselamatan sosial yang baik tidak hanya menyediakan bantuan faedah kewangan tetapi sokongan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kehidupan pencarum setelah berlaku situasi luar jangka.

“Contohnya, menerusi Program ‘Return to Work’ serta perkhidmatan padanan pekerjaan menerusi portal pekerjaan MYFutureJobs, Perkeso dapat membantu mereka yang hilang pekerjaan, para graduan ataupun pekerja yang ingin mencari peluang kerjaya yang lebih baik, bagi penempatan dalam pasaran kerja.

“Mungkin ada yang beranggapan bahawa kemalangan, penyakit mahupun kes-kes kehilangan pekerjaan adalah takdir, namun realitinya, kita harus berusaha untuk mengelak atau mengatasinya.

“Di situlah juga letaknya peranan Perkeso sebagai sebuah institusi keselamatan sosial yang berperanan membantu para pencarumnya berusaha mendepani apa jua bencana yang berlaku dan melangkah meneruskan kehidupan,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN