PUTRAJAYA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) disaran bergerak lebih ke hadapan dalam usaha memastikan negara miskin terus mendapat agihan adil bekalan vaksin Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini, keadaan amat mengecewakan dan ia menjadi kegagalan moral terbesar kemanusiaan dalam menangani isu pandemik berkenaan.
“Hari ini, penghantaran stok masih jauh daripada apa yang dirancang dan ia satu kekecewaan amat besar apabila misi kerjasama sejagat diambil alih rundingan hanya dua pihak,” katanya yang mewakili Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Ke-72 di Himeji, terletak 580 kilometer dari ibu kota, Jepun Tokyo.
Persidangan selama lima hari yang disertai 37 negara itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Ghebreyesus dan turut dihadiri Pengarah Serantau agensi itu, Dr. Takeshi Kasai.
Mengulas lebih lanjut, Khairy berkata, Malaysia menyokong seruan kepimpinan WHO agar ada persetujuan global dalam memberi respons pantas bagi menangani pandemik sejagat tersebut secara inklusif, kebertanggungjawaban, kesaksamaan dan ketelusan dalam setiap tindakan bersama.
Beliau mengimbau sejarah akhir tahun lalu apabila vaksin wabak itu berjaya dicipta, ia seolah-olah suatu harapan besar solidariti antarabangsa dengan penubuhan fasiliti Covax diselia WHO.
Malangnya, ujar beliau, impian itu tidak pula tercapai dengan banyak negara miskin terpinggir dan diabaikan selain lambat menerima bekalan atau langsung tidak menerimanya sama sekali.
Justeru, Khairy berharap isu ketidakadilan agihan itu dapat diselesaikan segera terutamanya bekalan baharu yang lebih bersifat antiviral dan vaksin Covid-19 untuk golongan kanak-kanak.
Malaysia, katanya, malah bersedia melaksanakan pemindahan penghantaran ke negara yang lebih memerlukan menerusi inisiatif pertukaran teknologi dan pelaburan pembuatan vaksin.
“Pada masa sama, Malaysia sedia kongsi data terbuka untuk negara lain belajar kejayaan pelan imunisasi nasional yang berjaya melepasi paras 90 peratus populasi dewasa membuktikan semua negara wajar memanfaatkan teknologi maklumat menerusi aplikasi kecerdasan buatan sebagai wadah penilaian data pengurusan isu Covid-19,” katanya.
Beliau turut membangkitkan permasalahan pandemik selari yang lebih senyap iaitu kesihatan mental akibat kesan wabak itu terutama golongan rentan sehingga berlaku peningkatan kes yang mana Malaysia tidak terkecuali, bahkan bersempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021 pada 10 Oktober lalu, Pelan Strategik 2020-2025 dilancarkan kerajaan.
“Saya mengulangi kepentingan kesihatan mental yang beri kesan besar kepada fizikal dan yakin, Malaysia bersedia menjalin kerjasama menangani krisis secara bersama,” kata Khairy. -UTUSAN ONLINE