KUALA LUMPUR: Penilaian risiko jangkitan Covid-19 berhubung pembukaan sempadan antarabangsa akan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM akan mengambil kira maklumat situasi Covid-19 dari negara asal pengembara sebelum membenarkan kemasukan pengembara dari negara berkenaan.
“Kemasukan warganegara dan warga asing seperti pelajar, diplomat, golongan professional serta pelabur asing telahpun mula dibenarkan bermula pada Jun 2020 semasa Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika itu.
“Walau bagaimanapun, kebenaran masuk ini adalah tertakluk kepada SOP dan syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuklah keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin yang telah disediakan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris tentang apakah wajar SOP membenarkan pengembara tempatan dan warga asing lengkap dua dos vaksin yang pulang atau tiba dari luar negara, menjalani kuarantin wajib di rumah sahaja.
Tambah Ismail Sabri, kebenaran masuk ini tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuklah keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin disediakan.
“Di bawah Pelan Pemulihan Negara, kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini dan bermula 12 Ogos lalu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.
“Namun, kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diberikan kebenaran berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE