MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengakui berlaku kekeliruan berhubung insiden rebah di parkir Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, Klebang di sini, berikutan terdapat dua kes sedemikian berlaku semalam.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kes pertama melibatkan video yang tular iaitu seorang remaja 13 tahun dari sebuah sekolah menengah.
Jelasnya, kes kedua pula adalah seorang kanak-kanak 12 tahun dari sebuah sekolah rendah yang hadir secara datang terus (walk in) bersama keluarga.
Ujarnya, semasa proses vaksinasi, remaja 13 tahun itu sangat gementar, tetapi, tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat, sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian.
“Siasatan lanjut mendapati, remaja tersebut tidur awal sebelum hari kejadian, telah mengambil sarapan pagi dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau alahan sebelum ini.
“Kejadian tersebut berlaku disebabkan remaja tersebut terlalu gementar dan menyebabkan beliau mengalami pengsan (vasovagal attack),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Rusdi, bagi kes kanak-kanak 12 tahun pula, murid itu juga dilihat gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan sepanjang proses vaksinasi dan tempoh pemerhatian.
Katanya, dia ada mengadu sakit kepala dan kemudian lemah sebelum dibawa masuk semula ke PPV.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, remaja kedua ini telah tidur lewat iaitu pada pukul 2 pagi. Selain itu, dia juga tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.
“JKNM juga memohon maaf sekali lagi di atas kekeliruan yang timbul berkenaan hal ini,” jelasnya.
Semalam, melalui kenyataan berbeza, JKNM memaklumkan, kanak-kanak yang videonya tular tidak sedarkan diri secara tiba-tiba di PPV Encore disahkan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan kini sudah sihat seperti sedia kala.
Individu berkenaan ialah seorang murid sekolah rendah berusia 12 tahun yang hadir secara datang terus bersama keluarganya ke PPV tersebut.
Hasil siasatan lanjut mendapati, kanak-kanak itu tidur lewat iaitu pada pukul 2 pagi, selain tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi kejadian. -UTUSAN ONLINE