PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom (UK), General Sir Nicholas Patrick Carter, di London, UK, Rabu lalu.
Menurut Istana Negara, dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda dan General Sir Nicholas berkongsi pengalaman mereka berdua sebagai Pegawai Kadet di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda dan General Sir Nicholas turut menyentuh hubungan dua hala pertahanan di antara Malaysia dan UK serta peningkatan kerjasama yang berterusan di antara kedua-dua negara dalam aspek latihan dan pertahanan.
Katanya, ini berikutan Seri Paduka Baginda dan General Sir Nicholas pernah menimba ilmu ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, UK.
“Antara isu-isu semasa lain yang disentuh pada sesi menghadap ini berkait dengan Covid-19, kemanusiaan, industri pertahanan, keselamatan serantau dan juga perkembangan terkini di Afghanistan.
“Berdasarkan peranan yang dimainkan oleh General Sir Nicholas bagi meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan ini, maka, Seri Paduka Baginda berkenan dan menzahirkan hasrat penghargaan Malaysia kepada beliau bagi penganugerahan Pingat Panglima Gagah Angkatan Tentera (Knight Grand Commander of the Order of Military Service) yang akan dikendalikan menerusi Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu dalam hantaran Facebook, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Zakri Jaafar, Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia, Charles Hay, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Penasihat Pertahanan Brigadier, Jeneral Safwan @ Asri Ismail dan Staf Kanan kepada Ketua Staf Pertahanan UK, Commodore Anthony Rimington.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat menghadiri majlis perjumpaan semula bersama para rakan sepasukan di Royal Military Academy Sandhurst di London, UK semalam.
“Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.
“Pada majlis ini, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa menyantuni dan bertanya khabar serta mengimbas kenangan manis dengan para rakan sepasukan, masing-masing sebagai pegawai kadet, ketika bersama menuntut di akademi berkenaan lebih 40 tahun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE