Dua bulan pujuk ibu terima vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Dua bulan pujuk ibu terima vaksin Covid-19

SEBAHAGIAMlN warga emas yang telah selesai mendapatkan vaksin secara 'walk in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Spice, Bayan Baru, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Selama dua bulan, Mohd. Mukwim Maghribi, 40, berusaha memujuk ibunya, Raudah Hassan, 67, untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri daripada wabak merbahaya berkenaan.

Usahanya itu akhirnya berjaya apabila ibunya bersetuju menerima vaksin secara ‘walk in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Spice, Bayan Baru, di sini hari ini.

Mohd. Mukwim berkata, pelbagai informasi tidak tepat yang dibaca oleh ibunya menerusi media sosial serta aplikasi WhatsApp menyebabkan ibunya agak keberatan untuk menerima vaksin Covid-19.

“Saya dan adik-beradik lain ambil masa hampir dua bulan untuk memujuk ibu, kami bersyukur akhirnya ibu bersetuju untuk mendapatkan vaksin.

“Secara kebetulan pula, warga emas sudah boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk in’ hari ini, jadi saya terus membawa ibu ke PPV Spice hari ini,” katanya ketika ditemui di PPV Pusat Konvensyen Spice, di sini hari ini.

Warga emas di Pulau Pinang yang belum menerima temujanji suntikan vaksin Covid-19 boleh hadir secara ‘walk in’ di pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditetapkan bermula semalam.

Menurut Mohd. Mukwim, inisiatif PPV secara ‘walk in’ untuk warga emas amat mudah dan selesa bagi membantu mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

”Perkhidmatan yang diberikan oleh petugas di sini juga amat baik dan memuaskan hati, inisiatif ini diharapkan dapat diteruskan bagi memudahkan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Raudah berkata, dia akhirnya terbuka hati mendapatkan vaksin Covid-19 selepas melihat suaminya, Maghribi Hassan, 68, yang menghidap penyakit angin ahmar turut menerima vaksin berkenaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum ini.

“Saya buat keputusan untuk ambil vaksin demi menjaga suami, jika saya sakit, siapa yang akan menjaga suami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Konvensyen Spice, Dr. Norhashimah Ismail berkata, sambutan hari pertama pembukaan PPV secara ‘walk in’ untuk warga emas itu disifatkan amat memberangsangkan.

“Hari ini kita sediakan 500 hingga 600 dos bagi mereka yang datang secara ‘walk in’, jika keperluan bertambah kita akan tambah dos vaksin berdasarkan permintaan orang ramai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN