Vaksin pelajar STPM dalam tempoh terdekat - Utusan Malaysia

Vaksin pelajar STPM dalam tempoh terdekat

AHMAD AMZAD HASHIM (tengah) berbual bersama petugas ketika meluangkan masa melawat PPV di Dewan 2020, Kangar Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pihaknya belum mempunyai tarikh khusus, namun, pemberian vaksin kepada pelajar berumur 18 tahun yang bakal menduduki peperiksaan tersebut akan disegerakan.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan garis panduan iaitu bagi mereka yang berumur 18 tahun, namun, daripada segi tarikh lahir masih belum cukup umur tetap dibenarkan menerima suntikan.

“Secara umumnya, perkara itu (suntikan vaksin pelajar menduduki peperiksaan) sememangnya sudah dalam perancangan kita untuk mereka disegerakan pemberian vaksin.

“Namun, tarikh khusus mengenai pelaksanaan suntikan tersebut masih tidak ada, tetapi, ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Mereka yang berumur 18 tahun walaupun daripada segi tarikh lahir belum cukup 18, kita tetap benarkan kerana daripada segi tahun, mereka sudah cukup 18 tahun. Mereka boleh menerima suntikan vaksin dengan kebenaran ibu bapa,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan 2020 di sini hari ini.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan, pemberian vaksin Covid-19 kepada kira-kira 400,000 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM seperti dirancang kerajaan perlu disegerakan.

Ini berikutan wujud kebimbangan ibu bapa berhubung keadaan anak-anak mereka yang tertekan ekoran kesuntukan masa untuk membuat persiapan dan mengikuti pembelajaran berkualiti secara bersemuka bagi menghadapi peperiksaan penting berkenaan.

Sehingga sekarang, tiada perkembangan mengenai tarikh janji temu bagi program vaksinasi membabitkan pelajar.

Bagaimanapun, semalam, kerajaan telah memaklumkan tidak akan memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun dan ke bawah termasuk calon peperiksaan SPM buat masa ini.

Ini berikutan vaksin tersebut didapati berisiko mencetuskan radang jantung kepada remaja peringkat umur berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Amzad memberitahu,suntikan harian vaksin Covid-19 di seluruh negara telah mencapai angka melebihi 400,000 iaitu jauh daripada sasaran asal iaitu 390,000 bagi bulan Julai.

“Sekiranya kita dapat mengekalkan suntikan harian dengan jumlah begitu, Insya-Allah matlamat kita untuk mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat akan tercapai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN