Peningkatan janji temu, penerima tidak ikut jadual punca PPV sesak - Utusan Malaysia

Peningkatan janji temu, penerima tidak ikut jadual punca PPV sesak

DERETAN kenderaan dilihat memasuki Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di Hospital UCSI, Bandar Springhill, Port Dickson.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Peningkatan janji temu pemberian dos vaksin Covid-19 selain penerima vaksin tidak mengikut jadual janji temu yang ditetapkan antara faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital UCSI, di Bandar Springhill, Port Dickson sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, hasil turun padang ke PPV tersebut semalam, beliau dimaklumkan sebanyak 2,000 janji temu melalui MySejahtera telah diterima PPV tersebut.

“Memang berlaku kesesakan di PPV tersebut sehingga mengganggu proses vaksinasi. Hari ini juga, saya diberitahu sebanyak 3,000 janji temu diterima PPV tersebut.

“Saya berharap masyarakat yang mendapatkan suntikan vaksin perlulah mengikut jadual yang ditetapkan. Mereka tidak perlu datang terlalu awal dan perlu patuhi arahan janji temu iaitu hadir setengah jam awal bagi mengelakkan kesesakan dan menunggu terlalu lama,” katanya dalam sidang akhbar yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, seramai 142,138 rakyat di negeri telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 manakala 342,605 orang telah memperoleh dos pertama vaksin.

Sementara itu, Aminuddin meminta pihak kilang di daerah ini dapat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka kilang sepanjang PKPD ini dan saya berharap mereka (pihak kilang) dapat mengikut SOP dan penguatkuasaan sentiasa dilaksanakan bagi mengelakkan mereka melanggar SOP,” kata beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya