Laman web PKRC Covid-19 diaktifkan jawab permasalahan orang ramai - Utusan Malaysia

Laman web PKRC Covid-19 diaktifkan jawab permasalahan orang ramai

MEOR Ismail (tengah) bercakap dalam sidang akhbar secara dalam talian mengenai pengaktifan laman web PKRC MAEPS 2.0, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laman web Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS 2.0) diaktifkan bagi menjawab aduan daripada orang awam dalam tempoh 24 jam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Meor Ismail Meor Akim berkata, laman yang diaktifkan pada 1 Julai lalu itu juga memudahkan orang ramai membuat rujukan bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat.

Beliau berkata, orang ramai boleh melayarinya melalui www.pkrcmaeps.gov.my di mana ia menyalurkan informasi terkini setempat (centralized) yang tepat dan sahih mengenai pengoperasian PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 kepada masyarakat umum.

“Perkhidmatan ini dikawal selia oleh petugas dari MAEPS Covid Centre Kementerian Kesihatan (MCCK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertauliah dan berpengalaman mengendalikan pusat khidmat pelanggan.

“Laman web ini menyediakan panduan kepada pesakit dan waris, penyampaian maklumat yang konsisten serta juga sebagai bahan rujukan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, hari ini.

Meor Ismail berkata, PKRC Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS 2.0 diaktifkan semula pada 6 Disember tahun lalu berikutan peningkatan kes Covid-19 mendadak dan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata, pada peringkat awal, pengambilan pesakit Covid-19 hanya melibatkan pesakit bukan warga negara kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

“Pada 24 Januari lalu, ia dinaik taraf kepada PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 setelah mula menerima pesakit kategori 3 dan 4 dengan skala sederhana.

“PKRC yang kini beroperasi di tujuh dewan boleh menampung sehingga 5,000 pesakit pada satu-satu masa dan telah merawat seramai hampir 120,000 pesakit dalam masa tujuh bulan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pengurusan PKRC melibatkan kolaborasi 19 buah agensi, diterajui bersama Nadma dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan kekuatan anggota harian melebihi 1,500 kakitangan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN