Kes jangkitan Covid-19 di Wilayah Persekutuan masih terkawal - Utusan Malaysia

Kes jangkitan Covid-19 di Wilayah Persekutuan masih terkawal

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Tiada trend luar biasa jangkitan Covid-19 dikesan di Wilayah Persekutuan ketika ini dan keadaan adalah terkawal.

Perkara itu disahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang menjelaskan, majoriti kes yang dikenal pasti adalah daripada saringan yang dibuat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar iaitu 18.5 peratus yang secara umumnya mula bertambah baik.

Menurutnya, sebahagian lagi adalah daripada kes kontak rapat positif iaitu 52 peratus disumbang oleh pesakit gagal mematuhi peraturan kuarantin dalam rumah sendiri.

“Manakala 24 peratus lagi adalah kes sporadik dalam kalangan komuniti.

“Berdasarkan 1,598 kes yang direkodkan semalam, 1,417 individu dijangkiti adalah warganegara dan 181 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, saringan di kawasan PKPD menyumbang kepada 300 kes positif yang mana lebih separuh adalah jangkitan daripada kontak rapat yang kebanyakannya dalam isi rumah.

Annuar berkata, majoriti kes positif di PKPD dan kontak rapat isi rumah dikuarantin di rumah menyebabkan penularan kepada ahli keluarga.

“Selain itu, hampir satu perempat adalah kes sporadik yang tidak diketahui punca jangkitan namun berkemungkinan besar daripada komuniti.

“Kam juga mendapati, penularan kes juga berkemungkinan didorong oleh transmisi daripada varian Delta yang lebih mudah berjangkit,” katanya.

Kata beliau, pihaknya akan terus memantau situasi tersebut terutama berkaitan peraturan kuarantin di rumah sendiri yang dirasakan tidak sesuai diteruskan.

Jelasnya lagi, pihaknya juga akan mengambil tindakan dengan menutup mana-mana tapak bina yang terdapat kes positif.

Sementara itu, Annuar berkata, majikan dan warga Kuala Lumpur hendaklah menyegerakan proses vaksinasi selaras dengan dasar dan matlamat mencapai 80 peratus menjelang Ogos bagi Kuala Lumpur.

“Secara keseluruhannya, keadaan di Wilayah Persekutuan adalah terkawal dan dijangkakan kes akan menurun pada minggu hadapan hingga akhir bulan Julai dengan pencapaian peratusan suntikan vaksin yang tinggi di Wilayah Persekutuan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN