JKJAV tetapkan sela masa suntikan vaksin bekas pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

JKJAV tetapkan sela masa suntikan vaksin bekas pesakit Covid-19

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-​19 (JKJAV) bermesyuarat minggu ini bagi menetapkan sela masa untuk bekas pesakit Covid-19 mengambil suntikan vaksin.

Penetapan itu penting memandangkan wujud sela masa berbeza ditetapkan setiap pusat pemberian vaksin (PPV) seperti yang didakwa orang awam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sebelum ini, JKJAV menetapkan sela masa bagi bekas pesakit Covid-19 untuk mengambil vaksin ialah tiga bulan.

“Namun, saya difahamkan ada beberapa PPV membuat keputusan berbeza.

“Perkara ini akan dikemas kini pada peringkat JKJAV untuk ditentukan minggu ini,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke luar negara tetapi belum cukup usia 18 tahun untuk mengambil vaksin perlu mendapatkan surat perakuan kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga.

Menurutnya, beliau mendapati terdapat isu di mana pada tarikh vaksinasi yang diterima, ada yang belum lagi mencecah usia 18 tahun.

“Bagi golongan ini, vaksinasi masih boleh diberikan sekiranya mereka mencecah usia 18 tahun pada tahun ini.

“Satu syarat lain yang perlu dipenuhi adalah supaya ibu bapa atau penjaga mereka perlu menandatangani surat perakuan kebenaran bagi tujuan ini,” katanya.

Katanya, kerajaan sudah pun memulakan vaksinasi kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Setakat minggu lalu, sejumlah 8,615 janji temu sudah diberikan untuk kategori pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN