PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 355 individu diberkas dengan seramai 330 dikompaun manakala 25 lagi direman.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 52 premis meliputi masing-masing 10 buah kilang, 39 premis perniagaan dan tiga tapak pembinaan juga diarahkan tutup kerana didapati ingkar SOP.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,975 kilang, 14,782 premis perniagaan, 979 tapak pembinaan dan 283 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, seramai 17 pendatang tanpa izin turut ditahan dan 25 buah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.
Menyentuh isu kuarantin wajib, katanya, sejumlah 614 individu tiba di tanah air semalam dengan jumlah kumulatif seramai 257,585 diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.
“Sejumlah 9,376 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” katanya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 637 peruncit, 154 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,721 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terlibat didapati mematuhi peraturan. -UTUSAN ONLINE