SHAH ALAM: Enam petugas media yang didakwa menceroboh Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRCB) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan dipanggil untuk dirakam percakapan.
Petugas dari pelbagai agensi media itu dipercayai masuk ke PKRCB untuk membuat liputan mengenai gerakan Hartal Doktor Kontrak pada 26 Julai lalu tanpa kebenaran daripada pihak pengurusan pusat kuarantin berkenaan.
Hal berkenaan dimaklumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed yang memberitahu kesemua petugas terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat dan siasatan segera akan dilakukan bagi mengelakkan terdapat pihak cuba mengambil kesempatan.
“Ada dua isu yang timbul di sini satu, dia masuk ke tempat larangan, kedua tempat itu boleh membawa kepada jangkitan penyakit dan berdasarkan laporan yang dibuat oleh Pengarah PKRC MAEPS. Wartawan ini telah masuk ke zon kuning yang betul-betul di sebelah kawasan kuarantin, mereka yang berada di tahap tiga dan empat.
“Mungkin akan dipanggil dalam masa terdekat. Kita hendak segerakan siasatan dan kita tidak mahu ada orang yang mengambil peluang dalam perkara ini, katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohamed memaklumkan menerima laporan daripada pengurusan PKRCB berhubung kehadiran petugas media yang membuat liputan gerakan Hartal Doktor Kontrak di sana.
Laporan dibuat susulan petugas terbabit dikatakan PKRCB yang menjadi kawasan larangan dan tidak mendapat kebenaran daripada pengarahnya.
Dalam pada itu, Arjunaidi menjelaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mengelirukan laporan berhubung pencerobohan petugas media dengan tindakan kepada doktor yang menyertai gerakan hartal itu.
Beliau berkata, rakaman percakapan dibuat ke atas 17 doktor yang dipanggil adalah berhubung pencerobohan berlaku di sana dan menafikan tindakan dikenakan kepada doktor berkenaan berkaitan penyertaan gerakan hartal.
“Walaupun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sudah pun menjelaskan perkara yang sebenarnya berlaku dan saya sendiri pun sejak dua hari lepas, saya memberikan kenyataan bahawa kita pada hari yang berkenaan, 26 Julai, kita tidak mengambil tindakan kepada mana-mana doktor yang terlibat dalam hartal.
“Isu kenapa kita rakam percakapan sampai pukul 3 pagi, doktor-doktor ini masuk tugas pada pukul 8 malam sampai 8 pagi. Kalau kita hendak rakam percakapannya di sebelah siang, maknanya pada hari ini selepas pukul 8 pagi tadi (selepas bertugas), sudah tentu dia letih. Kita pun ada hati perut,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE