GEORGETOWN: Seramai 35 daripada 1,695 individu yang menyertai program saringan massa menerusi Program Penang Saring Covid-19 (PSC19) dikesan positif walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, mereka dikesan di tiga lokasi PSC19 iaitu di Stadium Bandaraya, Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony, Seberang Jaya dan Dewan Besar Sungai Dua, Seberang Prai.
“Program ini telah berjaya mengesan mereka yang positif Covid-19 dalam komuniti dan kita dapat menghalang daripada wabak ini merebak.
“Kalau dalam program PSC19 ini kita berjaya saring satu kes Covid-19, kita dapat pastikan 100 kes lain tidak berlaku kerana mereka yang dikesan positif akan segera diasingkan supaya tidak merebak,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak RM3 juta diperuntukkan khusus bagi melaksanakan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti sasaran di 40 kawasan DUN bagi mengekang penularan Covid-19.
Pendekatan itu bakal meningkatkan jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif saringan di lapangan secara berterusan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.
Menurut Jagdeep, ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) telah dijalankan kepada individu-individu yang terlibat bagi tujuan pengesahan.
“Kesemua keputusan ujian saringan yang dilaksanakan dijangka diperoleh dalam tempoh 48 ke 72 jam.
“Selain itu, kesemua individu tersebut telah dipakaikan gelang kuarantin dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing sehingga keputusan ujian PCR diperoleh,” katanya.
Dalam pada itu Jagdeep berkata, program PSC19 seterusnya akan diadakan di bahagian pulau di empat kawasan bermula 15 hingga 18 Julai ini.
Jelasnya, ia melibatkan lokasinya di Padang Taman Kejiranan Maccalum (15 Julai) dan pekarangan tempat letak kereta asar dan Kompleks Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jalan Rajawali, Bayan Lepas (16 Julai).
“Dua lagi lokasi adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak (17 Julai) dan Dewan MPKK Sungai Dua Batu Uban (18 Julai),” katanya. -UTUSAN ONLINE











