Wajar atau tidak i-Sinar diteruskan? - Utusan Malaysia

Wajar atau tidak i-Sinar diteruskan?

Pengeluaran KWSP sebelum ini dijangka memberi kesan kepada pelaburan dan pendapatan seterusnya dividen dana simpanan persaraan terbesar negara itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Wajar atau tidak program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diteruskan?

Program dilaksanakan bermula November tahun lalu itu dianggap membuka harapan baharu buat rakyat demi kelangsungan hidup terutama pencarum ahli KWSP yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Akibat pandemik itu yang masih tiada kesudahannya ketika ini dan pelaksanaan sekatan perjalanan penuh (total lockdown), ramai rakyat dipotong gaji, dibuang kerja dan masih menganggur malah hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ekoran itu, rata-rata rakyat mengharapkan bantuan kerajaan termasuk meneruskan program i-Sinar demi kelansungan hidup mereka.

MUHAMMAD HAFIZ YAAKUB

Bercakap kepada Utusan Online, Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Dr. Muhammad Hafiz Yaakub berkata, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat secara berfasa dan tiada indikator jelas bila ia akan berakhir, sebarang bentuk bantuan kewangan daripada pihak berwajib begitu diperlukan oleh rakyat.

Jelasnya, ia bagi memastikan kelangsungan hidup dapat dicapai oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira tingkat pendapatan.

“Oleh itu, i-Sinar wajar diteruskan bagi memastikan kitaran ekonomi dapat berpusing dengan efisien,” katanya di sini hari ini.

NORAINA MAZUIN SAPUAN

Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Noraina Mazuin Sapuan pula berkata, pengeluaran i-Sinar kedua perlu menjadi pilihan terakhir sebagai sumber kewangan kecemasan pencarum KWSP pada ketika ini.

Jelasnya, kerajaan perlu memikirkan bantuan tambahan lain yang boleh meringankan kehidupan rakyat melalui pemberian tambahan Bantuan Prihatin Rakyat, bantuan kewangan tambahan melalui e-dana (menggunakan e-wallet) pada golongan B40 dan M40.

“Pelepasan cukai yang lebih tinggi kepada golongan M40 dan T20 serta pemberian moratorium menyeluruh yang dilihat lebih berkesan dalam meningkatkan pegangan wang di tangan rakyat.

“Dengan ini ia membantu meningkatkan kuasa beli rakyat secara keseluruhannya, serta membantu merancakkan kembali ekonomi melalui peningkatan permintaan dari rakyat terhadap barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berpandangan, i-Sinar wajar diteruskan oleh kerajaan demi membantu memulihkan ekonomi rakyat.

Beliau menjelaskan, kerajaan perlu tampil dengan lebih banyak bantuan dari segi pemberian kewangan dan barangan makanan.

“Ramai rakyat yang tertekan, derita dan kemurungan ketika ini ekoran pelaksanaan PKP yang belum tahu penghujungnya.

“Jadi kerajaan perlu meneruskan program bantuan yang komprehensif kepada rakyat seperti i-Sinar, kita juga minta kerajaan tangguh dahulu saman-saman seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan saman trafik.

“Ketika ini hendak mengara kehidupan pun rakyat tertekan dan tidak cukup duit, bagaimana mereka hendak bayar saman? Beri tempoh sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan,” katanya.

Mohd. Firdaus berkata, pada ketika ini, bukan sahaja golongan B40 malah seluruh rakyat begitu terkesan ekoran pelaksanaan total lockdown dan memerlukan bantuan sewajarnya dari kerajaan.

“Kemurungan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat perlu diberikan perhatian yang serius oleh pihak kerajaan, jika murung rakyat sanggup lakukan apa sahaja termasuk bunuh diri,” katanya.

Sabtu lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah pengeluaran i-Sinar KSWP dan menggesa kerajaan mencari alternatif lain bagi membantu golongan terkesan akibat penularan Covid-19.

Setiasusaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut bakal memberi implikasi besar kepada pesara yang berkemungkinan tidak mempunyai wang simpanan mencukupi pada masa akan datang.

Kata Kamarul Baharin, kerajaan sebaliknya disaran memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan pertengahan (M20) sebanyak RM 1200 sebulan dengan mencari sumber lain bagi tujuan tersebut.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan pemberian moratorium, i-Sinar KWSP seperti yang didesak oleh banyak pihak dalam menghadapi saat sukar ketika PKP ketika ini.

Tengku Zafrul berkata, beliau telah berbincang perkara itu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya