Kampus induk UUM Sintok antara kena PKPD - Utusan Malaysia

Kampus induk UUM Sintok antara kena PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah menjadi institusi pengajian tinggi yang terkini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 26 Jun ini susulan berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh seminggu, Kementerian Kesihatan mendapati ada peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif Covid-19 dilaporkan. 

Terdahulu, kampus induk Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu, Sabah dan Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor dikenakan PKPD masing-masingnya pada April dan Mei lalu.

“Empat lagi lokaliti di sekitar Sabah turut dilaksanakan PKPD antaranya di Kampung Kadazan, Bahagian Tawau setelah dilaporkan berlaku peningkatan pesakit baharu Covid-19 dalam tempoh tujuh hari dengan sebanyak 14 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiga lokaliti pula terletak di Bahagian Pantai Barat dengan dua di Kota Kinabalu iaitu Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai yang sudah melaporkan 15 kes selain Taman Villa Felcra Nambazan, Daerah Penampang ekoran sebanyak lapan kes positif dicatatkan dalam tempoh seminggu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan penamatan PKPD melibatkan 19 daripada 21 mukim di Daerah Kuala Terengganu secara serentak pada esok seperti yang dijadualkan.

 “Bagaimanapun PKPD di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada pula dilanjutkan lagi mulai Ahad ini sehingga 26 Jun ini ekoran masih ada peningkatan ketara kes,” jelas beliau.

Turut berakhir PKPD esok mengikut jadual, ujarnya, ialah tiga kawasan perumahan di Daerah Sabak Bernam, Selangor iaitu Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima.

Begitu juga empat rumah panjang di dua lokaliti berbeza di Bahagian Mukah apabila tamat PKPD masing-masing pada esok meliputi tiga rumah panjang di Ulu Sungai Sebakong iaitu Rimong anak Kilat, Asin anak Aji dan Bija anak Unggang serta di Sungai Duan iaitu Rumah Panjang Undum anak Anchih.

 Di Sabah pula, kata beliau, tiga lokaliti di Bahagian Tawau juga tamat PKPD pada esok iaitu Kampung Pasir Putih Blok B, PPR Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih selain satu lokaliti di Johor iaitu di Taman Sinar Harapan, Tampoi, Daerah Johor Bahru. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya