Cameron Highlands lengang - Utusan Malaysia

Cameron Highlands lengang

KEADAAN bandar Brinchang, Cameron Highlands, Pahang yang lengang. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Industri perhotelan di Cameron Highlands, Pahang, terjejas teruk kerana ketiadaan pelancong akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah beberapa kali dilaksanakan disebabkan pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan Hotel Rosa Passadena di Brinchang, Cameron Highlands, Datuk Yee Shan Kon berkata, hotel berkenaan kosong tanpa tetamu sejak tiga bulan lalu disebabkan PKP.

Katanya, tiada apa yang dapat mereka lakukan selain terus bertahan bagi memastikan perniagaan dapat diteruskan dan para pekerjanya tidak hilang pekerjaan.

“Hotel kami sudah tiga bulan tidak menerima tetamu, tiada langsung orang yang datang disebabkan Covid-19.

“Sebelum ini memang ada kelonggaran rentas daerah tetapi jumlah kedatangan pelancong ketika itu tetap tidak ramai. Sekarang apabila sekatan pergerakan penuh dilaksanakan, tidak boleh rentas negeri, keadaan di tanah tinggi ini lengang sama sekali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Menurutnya, perkara utama yang dilakukannya ketika ini adalah memastikan para pekerjanya tidak hilang pekerjaan.

“Saya memberikan semangat agar mereka terus bertahan dalam keadaan sekarang kerana masalah ini dihadapi semua hotel seluruh negara.

“Jika Covid-19 sudah reda, kalau ada sedikit pelancong yang datang dan menginap di sini pun sudah memadai untuk kami beroperasi,” katanya.

Beliau berharap agar pandemik Covid-19 pulih dan pelancong datang semula ke tanah tinggi itu.

“Saya akui tak boleh nak mendesak kerajaan membenarkan rentas negeri semasa kes Covid-19 begitu tinggi, kami pun takut nak terima pengunjung dalam keadaaan kes yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke tanah tinggi itu baru-baru ini mendapati, lokasi tumpuan utama pelancong seperti di Kea Farm, Brinchang dan Tanah Raya lengang.

Laluan yang menghubungkan pekan-pekan utama di tanah tinggi itu yang biasanya sesak dengan kenderaan juga lengang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN