Pekerja asing pakai 'gelang pink' berpeleseran di Ayer Keroh - Utusan Malaysia

Pekerja asing pakai ‘gelang pink’ berpeleseran di Ayer Keroh

TANGKAP layar klip video viral memaparkan sekumpulan pekerja warga asing berpelesiran sambil memakai gelang merah jambu di Taman Ayer Keroh Height, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengurusan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, di sini dipanggil polis selepas tularnya klip video memaparkan sekumpulan pekerja warga asing berpeleseran dengan memakai gelang merah jambu, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai klip video tersebut kira-kira pukul 2.35 petang.

Katanya, susulan itu polis memanggil pengurus sumber manusia kilang tersebut bagi membantu siasatan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Klip video berdurasi 16 saat itu memaparkan beberapa individu warga asing memakai gelang merah jambu dipercayai pesakit di bawah pengawasan (PUS) telah keluar membeli barangan di kedai runcit di Taman Ayer Keroh Height.

“Kita memanggil pengurus sumber manusia dipercayai majikan pekerja berkenaan datang ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk memberi keterangan dan butiran pekerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, video klip itu dipercayai tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.

“Polis membuka kertas siasatan dan kita akan mengenal pasti individu-individu yang terlibat dalam klip video tersebut untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan, kumpulan warga asing itu baru sahaja dipakaikan gelang berkenaan dan dalam proses untuk dihantar balik ke hostel masing-masing bagi tujuan kuarantin,” ujarnya.

Jelasnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 15 Perenggan 22 (B) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

Terdahulu, sebanyak empat buah kilang termasuk sebuah kilang makanan di perindustrian Ayer Keroh diarah tutup bermula 23 Mei lalu sehingga Sabtu ini selepas berlaku peningkatan jangkitan indeks Covid-19 membabitkan pekerja tempatan dan warga asing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya