MELAKA: Kerajaan negeri sedia mengurangkan jumlah jemaah dan aktiviti berkaitan keagamaan jika kes baharu positif Covid-19 terus meningkat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau telah berbincang dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi memantau jangkitan Covid-19 yang berpunca selepas 1 Syawal.
Jelasnya, setakat ini belum ada kes jangkitan dilaporkan.
“Kebanyakan kes-kes yang dilaporkan semuanya dikesan pada Ramadan lagi. Saya akan memantau rapat perkara ini. Jika perlu saya sedia kurangkan jumlah dan aktiviti keagamaan,” katanya selepas meninjau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MITC, Ayer Keroh di sini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman.
Mengenai pembukaan PKRC MITC, Sulaiman berkata, segala persiapan sudah hampir selesai dan akan mula menerima pesakit Jumaat ini.
Katanya, PKRC MITC dikhususkan kepada pesakit kategori satu dan dua dari negeri ini sahaja.
“PKRC ini adalah yang pertama untuk orang awam. Pembukaannya bertujuan mengatasi kesesakan yang berlaku di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Selangor.
“Pesakit negeri ini yang menerima rawatan di Maeps akan kekal di sana. Pesakit Covid-19 baru akan terus dirujuk ke PKRC MITC untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
PKRC MITC menggunakan tiga buah dewan dengan kapasiti maksimum 1,200 katil. – UTUSAN ONLINE










