PENDANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memastikan kira-kira 12,000 guru taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat sebaik sahaja pemilihan tarikh ditetapkan.
Menterinya, Datuk Dr. Abd. Latif Ahmad berkata, setakat ini, pihaknya masih menunggu jadual imunasasi tersebut daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
“Saya pun belum disuntik lagi tetapi tidak apa saya bagi guru Kemas dulu, menteri akhir sekali pun tak apa.
“Tarikh ditentukan oleh jawatan kuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
“Semua orang nak desak suntik vaksin tetapi kita tunggu giliran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Taman Desa Tawakkal di Kampung Hujung Ketun, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim yang juga Ahli Parlimen Pendang dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail.
JKJAV sebelum ini mengumum akan memastikan kira-kira 55,000 guru menerima suntikan vaksin setelah sesi persekolahan dibuka semula pada 1 Mac lepas.
Mengulas lanjut, kata Abd. Latif, guru-guru Kemas berkenaan juga adalah petugas barisan hadapan yang kebajikan mereka sentiasa diutamakan ketika memerangi penularan pandemik itu.
“Oleh kerana guru-guru Kemas ini mereka juga dikategorikan sebagai barisan hadapan namun kita bergantung juga kepada bekalan vaksin ini.
“Tetapi kita ikut jadual apa pun sebagai barisan hadapan mereka akan dapat dulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE









