SKMM usaha tangani capaian internet - Utusan Malaysia

SKMM usaha tangani capaian internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil pelbagai tindakan proaktif dalam usaha menangani masalah capaian internet di negara ini.

Jabatan Komunikasi Korporatnya dalam satu kenyataan menjelaskan, usaha itu bagi memastikan rakyat berpeluang menikmati perkhidmatan internet berkualiti serta menjalani kehidupan lebih baik.

Jelas SKMM, capaian internet yang lemah antaranya berlaku di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor apabila sekumpulan pelajar sekolah terpaksa belajar di bawah pokok nangka dan di atas bukit dalam ladang kelapa sawit.

“Kita telah melakukan tinjauan di lokasi aduan, sebagai penyelesaian jangka pendek, sebuah menara baharu sedang dibina berdekatan dengan kampung terbabit yang dijangka beroperasi hujung Mac ini.

“Penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara komunikasi di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) akan dibina di perkampungan Orang Asli Changkat Ramu,” katanya.

SKMM memberitahu, jarak antara menara yang dicadang dengan kampung itu kira-kira 2.1 kilometer.

Kenyataan itu menyebut, bagi kes di Kampung Sungai Tengar, Tebuk Mufrad, Sabak Bernam membabitkan masalah capaian internet lemah yang dihadapi pelajar sekolah di Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar, SKMM sudah menghubungi syarikat telekomunikasi berkenaan untuk melaksanakan pengoptimuman antena menara komunikasi.

Katanya, kerja-kerja itu dijangka siap menjelang hujung Februari ini dan sebuah menara baharu akan dibina di bawah pelan Jendela yang bermula hujung tahun ini.

“Kes di Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, Pahang membabitkan masalah kelemahan liputan selular di mana pihak Celcom sudah diminta melaksanakan kerja optimum pada menara Kampung Paya Mentiga yang dijangka siap hujung Mac ini.

“Di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan membabitkan capaian internet lemah, kita telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk mengoptimumkan antena menara komunikasi berdekatan bagi
meningkatkan kualiti capaian internet yang dijangka siap hujung Mac ini. Untuk penyelesaian jangka panjang, sebuah menara baharu dicadang di kampung Orang Asli yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tadika Nur Najihah di bawah pelan Jendelan akan datang,” katanya.

Tambahnya, masalah capaian internet di Kampung Payong, Setiu, Terengganu, SKMM melaksanakan penyelesaian jangka panjang di mana sebuah menara komunikasi di kampung itu akan dinaik taraf di bawah pelan Jendela yang bermula suku kedua tahun ini.

“Di Kampung Bukit Chempedak, Kampung Jerong Seberang, Kampung Jerong Surau dan Kampung Jerong Tuan, Pengkalan Berangan Marang, Terengganu membabitkan masalah capaian internet.

“Antara langkah diambil ialah menaik taraf menara komunikasi di Kampung Jerung Seberang dan ini akan dilaksanakan di bawah pelan Jendela yang dijangka bermula suku
kedua 2021 malah sebuah menara komunikasi baharu akan dibina di Kampung Bukit Chempedak awal tahun depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN