fbpx

Kuarantin tiga hari bukan untuk semua menteri

NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Bukan semua menteri dapat pelepasan kuarantin tiga hari tetapi hanya yang menepati syarat boleh dipertimbangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana menteri yang mempunyai urusan di luar negara perlu mengemukakan permohonan kepada Jemaah Menteri untuk membolehkan Kabinet mempertimbangkan pelepasan atau sebaliknya.

Katanya, sekiranya syarat dan kriteria itu tidak dipenuhi, menteri itu wajib menjalani prosedur kuarantin biasa selama 10 hari.

“Mereka (menteri) perlu mengemukakan permohonan kepada Jemaah Menteri. Kita perlu melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) dan perkara ini (ke luar negara) hanya membabitkan urusan rasmi sahaja.

“Antara yang diteliti adalah aktiviti ringkas dan padat tetapi tidak membabitkan ramai orang seperti aktiviti di tempat awam dan paling penting adalah delegasi menteri itu perlu menggunakan pesawat persendirian tetapi jika membabitkan pesawat komersial, ia tidak akan dipertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Noor Hisham berkata, mereka juga perlu diiringi doktor selain perjalanan hanya untuk sehari.

Katanya, sebelum mereka bertolak, ujian saringan perlu dilakukan tiga hari sebelum ke luar negara.

“Selepas kriteria terbabit dipenuhi, kita akan membuat penilaian risiko mengikut yang telah ditetapkan.

“Sekiranya ia didapati tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, mereka perlu menjalani kuarantin biasa selama 10 hari,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pengecualian kepada menteri yang pulang dari luar negara bagi menjalani pemerhatian hanya selama tiga hari atau pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.

Perintah ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ dikeluarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 1 Ogos depan.

Perintah terbabit dibuat mengikut kuasa (Akta 342) seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 disiarkan melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 2 Februari lalu, selepas dikeluarkan Dr. Adham dalam portal rasmi, e-Warta Persekutuan. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN