Hotel bajet nyawa-nyawa ikan - Utusan Malaysia

Hotel bajet nyawa-nyawa ikan

KEADAAN sebuah hotel bajet yang lesu tanpa kehadiran pengunjung untuk menginap di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 200 hotel bajet di negeri ini berdepan saat ‘sukar’ untuk terus bertahan bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang kesan penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Hotel Malaysia (MyBHA) Pahang, Pajan Singh berkata, hampir 100 peratus hotel bajet di negeri ini berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan ada yang melakukan penutupan sementara.

“Dengan angka kes Covid-19 yang turun naik dan tidak konsisten sehingga rakyat takut untuk menginap di hotel, juga antara sebab yang menjurus kepada kesukaran untuk terus bertahan.

“Hotel bajet pastinya tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain bilik penginapan berbanding resort yang mempunyai pilihan seperti menjual makanan dan minuman melalui kafe sedia ada sebagai sumber pendapatan lain untuk menampung kos operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pajan berkata, MyBHA Pahang menjangkakan walaupun keadaan kembali pulih dan kebenaran perjalanan sepenuhnya dibenarkan, hotel-hotel bajet perlu melalui fasa pemulihan yang sukar.

“Sektor perhotelan dan pelancongan mengambil masa untuk pulih. Kerajaan perlu menilai semula bentuk bantuan agar lebih bersifat terus kepada pemain industri itu sendiri.

“Hotel bajet adalah salah satu industri yang menyumbang kepada ekonomi negara melalui pelbagai jenis cukai, dengan itu kelangsungan operasinya juga tertakluk kepada keupayaan kerajaan dan kerajaan negeri untuk membantu.

“Jika kerajaan tidak mempunyai kesungguhan maka lebih banyak hotel bajet akan gulung tikar dalam masa terdekat ini. Malah sekarang pun sudah banyak hotel termasuk bertaraf lima bintang ditutup daripada terus menanggung kerugian besar,” katanya.

Beliau memaklumkan, pelbagai cadangan daripada MyBHA dan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) diberikan kepada kerajaan termasuk subsidi upah, pemberian diskaun sehingga 50 peratus bagi penggunaan tenaga elektrik dan air serta pengurangan cukai taksiran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bantuan-bantuan daripada kerajaan seperti ini sangat membantu untuk pengusaha dan pemain industri khususnya hotel bajet untuk terus bernafas.

“Melalui penambahbaikan bantuan yang sedia ada maka hotel-hotel bajet di bawah MyBHA dan MAH dijangka boleh bertahan untuk mengekalkan operasi perniagaan masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN