Operasi PKRC Maeps luar biasa -PM - Utusan Malaysia

Operasi PKRC Maeps luar biasa -PM

MUHYIDDIN Yasin berkesempatan bertemu dengan para petugas barisan hadapan yang bertugas di PKRC MAEPS, petang tadi. - FB PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 2.0 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang hanya dalam tempoh tiga hari dengan kapasiti permulaan sebanyak 3,100 katil, adalah satu tindakan luar biasa dalam situasi yang luar biasa.

Perdana Menteri berkata, sebanyak tujuh dewan digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan.

Menurut beliau, fasiliti itu juga sedang dinaik taraf secara berfasa untuk dijadikan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

Setelah dinaik taraf, katanya, fasiliti itu boleh merawat 30 pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan juga mampu merawat 10 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen sehinggalah ke bantuan pernafasan.

“Petang ini saya telah turun meninjau PKRC di MAEPS bagi melihat sendiri pengurusan PKRC dan pesakit-pesakit Covid-19.

“Alhamdulillah, berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman, saya merasa cukup bangga dengan segala usaha dan penat lelah semua petugas barisan hadapan dari pelbagai agensi bagi memastikan penyediaan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit,” katanya dalam Facebook beliau malam ini.

Yang turut hadir dalam tinjauan itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Muhyiddin turut berkongsi bahawa beliau berpeluang untuk berinteraksi dengan pesakit-pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di salah sebuah dewan di situ.

Kata Perdana Menteri, mereka semua kelihatan bersemangat, ceria dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan.

Pada sesi interaksi itu, beliau mengingatkan mereka supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini.

Perdana Menteri turut berkesempatan bertemu dengan para petugas barisan hadapan yang bertugas di pusat itu.

“Saya sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit.

“Saya berdoa agar semua pesakit Covid-19 terus bersemangat menjalani tempoh yang sukar ini dan semoga mereka semua diberikan kesembuhan. Insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin pada masa sama mendoakan petugas barisan hadapan agar dikurniakan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang menentang Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.