Semua PPS perlu dinyah kuman - Utusan Malaysia

Semua PPS perlu dinyah kuman

NOOR Azmi Ghazali (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai hari ini. - GAMBAR WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) perlu menjalani proses nyah kuman sebelum dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, langkah itu bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Menurutnya, proses nyah kuman itu adalah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persediaan menghadapi banjir.

“PPS juga perlu menyediakan peralatan secukupnya bagi mengelak jangkitan Covid-19 iaitu pelitup muka, penyukat suhu, cecair pembasmi kuman dan kelengkapan perlindungan diri (PPE).

“Proses pemindahan mangsa banjir di PPS juga perlu mematuhi garis panduan pengurusan PPS dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya selepas meninjau dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, di sini hari ini.

Menurut Noor Azmi, perkara yang menjadi kebimbangan kementerian ialah kealpaan dan kegagalan segelintir mangsa banjir mematuhi SOP mencegah jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, ini boleh menyebabkan wabak itu menular bukan sahaja dalam kalangan mangsa banjir tetapi juga petugas di PPS.

“Kerajaan amat berharap SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi petugas di PPS dan mangsa banjir bagi mengelakkan wabak ini menular,” katanya.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, saringan ke atas pekerja warga asing yang bekerja di Felda Gunung Besout di Slim River mendapati empat daripada mereka positif penyakit filariasis atau untut atau kaki gajah.

Menurutnya, pekerja terlibat telah menerima rawatan untuk penyakit itu.

Beliau berkata, pihak KKM juga membuat penilaian risiko dan mendapati kawasan persekitaran di Felda Gunung Besout mempunyai vektor yang boleh menyebarkan penyakit itu.

“KKM juga memperluas saringan penyakit filariasis kepada komuniti di Gunung Besout bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya