Nota terakhir pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Nota terakhir pesakit Covid-19

NOTA yang ditulis seorang pesakit Covid-19 kepada ahli keluarganya sebelum meninggal dunia yang tular dalam media sosial. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini Rabu lalu, sempat menulis nota terakhir kepada ahli keluarganya.

Nota berbunyi, Tolong doa dan terus solat hajat. Abah minta maaf. Jaga diri semua’ itu ditulis sendiri oleh Ahmad Mohamad Tayib, 58, sebelum dia ditidurkan untuk rawatan.

Gambar dua kertas pesanan terakhir Ahmad itu tular dalam Facebook selepas dimuat naik anak perempuannya, Syafiqa Humairak, 32, semalam.

Menurut Syafiqa, bapanya itu dikesan positif Covid-19 pada 12 November lalu selepas me­ng­alami demam dan dimasukkan ke HRPB pada hari sama untuk kuarantin dan rawatan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, semasa di ICU, ba­panya yang mempunyai pe­nyakit buah pinggang kronik itu dalam keadaan stabil dan masih boleh bercakap.

“Semasa di ICU abah masih boleh bercakap, kami buat panggilan video dan dia minta maaf. Dia juga minta kami untuk buat solat hajat agar semua selamat.

“Bagaimanapun pada Isnin lalu, doktor beritahu yang abah akan ditidurkan. Sebelum pro­ses itu kami sekali lagi buat panggilan video dengannya.

“Dia mahu bercakap se­perti ingin memberikan pesanan kepada kami namun tidak boleh kerana telah dipasangkan me­sin. Nota itu ditulisnya sendiri sebelum dia ditidurkan,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Menurut anak sulung itu, kertas mengandungi pesanan tersebut tidak diberikan pihak hospital kepadanya untuk disimpan kerana bimbang mengandungi virus Covid-19.

Katanya, dia berasa sedih dan sebak apabila mengenangkan hasrat bapanya itu yang mahu kembali sembuh dan bersama keluarga semula tidak kesampaian.

Bagaimanapun katanya, mereka sekeluarga bersyukur dapat menatap saat-saat terak­hir lelaki itu meskipun menerusi panggilan video sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.25 malam, Rabu lalu.

“Kami melihat abah sehingga dia tiada. Doktor pun minta kami bercakap dengan abah, walaupun dia tidak sedar tetapi kami yakin dia dengar kami minta maaf.

“Saya hargai peluang yang diberikan oleh pihak hospital. Walaupun kami sekeluarga tidak berada di sisinya di saat akhir namun sekurang-kurangnya kami dapat menatapnya,” katanya.

Syafiqah berkata, selain bapanya, enam ahli keluarga lain termasuk ibu dan anak saudara lelaki berusia sebulan juga dikesan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di hospital sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya