Covid-19: Dua sekolah di Kedah ditutup - Utusan Malaysia

Covid-19: Dua sekolah di Kedah ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Dua buah sekolah di negeri ini ditutup selama seminggu bermula hari ini berikutan terdapat kes positif Covid-19 melibatkan pelajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, dua sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman di Mergong di sini dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok di Kubang Pasu.

“Kesemua kontak rapat melibatkan pelajar yang positif itu telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan semalam dan hari ini.

“Kedua-dua sekolah tersebut ditutup selama tujuh hari bermula hari ini hingga 9 November depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau dimaklumkan penularan kes Covid-19 di kedua-dua sekolah berkenaan ada kaitan dengan Kluster Bayan di Pulau Pinang.

“Kes di salah sebuah sekolah terbabit bermula apabila seorang pekerja sebuah kilang di Pulau Pinang yang ditutup akibat Covid-19 pulang ke rumahnya di Kedah. 

“Virus itu kemudiannya menjangkiti anak pekerja kilang tersebut yang juga merupakan pelajar sekolah,” ujarnya.

Katanya, beliau difahamkan saringan hanya dijalankan terhadap mereka yang menjadi kontak rapat dan bukannya keseluruhan warga sekolah.

Dalam pada itu, Mohd. Hayati turut menzahirkan kebimbangan terhadap kes denggi yang dilihat masih serius di negeri ini meskipun tidak melibatkan kematian.

“Sehingga minggu ke-44 tahun ini, terdapat 28 lokaliti yang wujud dengan keseluruhan 737 kes.

“Kita mengesan 4,422 tempat pembiakan nyamuk dan telah mengeluarkan 3,424 kompaun dengan 148 daripadanya dibawa ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya