Jamil mundar-mandir. Sesekali dia memicit-micit kepalanya yang tidak pening. Cuma runsing. Sesekali langkahnya terhenti. Gelisah. Serba salah.
“Emak…,” panggilan itu terhenti apabila emak langsung tidak memandang wajah Jamil.
Emak tidak pernah menganggap Lela sebagai menantunya. Walaupun berkali-kali Lela ingin bertemu dengannya untuk membentang permaidani perdamaian.
Perdamaian jiwa dan emosi. Sudah empat tahun Lela menjadi isteri kedua Jamil. Namun emak tetap berkeras enggan menerima kehadiran Lela sebagai sebahagian daripada anak menantunya. Segala pemberian Lela, emak lontar ke tepi. Ada juga yang ditongsampahkan.
Emak berkecil hati dengan tindakan Jamil yang membelakangkannya apabila bernikah dengan Lela secara senyap-senyap. Tahu-tahu Lela sudah disahkan sebagai isteri Jamil. Sedangkan Jamil sudah pun memperisterikan Maria. Tiada kurangnya Maria itu. Wanita anggun, lemah lembut dan subur. Empat orang sudah anaknya dengan Jamil.
Lela itu kata orang tidaklah secantik Maria. Anak dara lanjut usia pula. Cuma kelebihan Lela, dia pandai mengurut. Ilmu mengurut Lela diwarisi daripada leluhur keluarga sebelah ibunya yang pernah menjadi bidan kampung. Kemahiran itu diwarisi oleh Lela sejak ibunya masih ada lagi. Lela handal mencari urat terseliuh, memulihkan saraf, melegakan tekanan dan mengurut orang selepas beranak. Baru-baru ini khabarnya Lela belajar berbekam di pusat terapi profesional. Sudah ada pentauliahan.
Menurut kata Lela sebaik-baik waktu berbekam adalah pada pertengahan bulan Hijrah. Pada hari ke-17, 19 atau 21 dan digalakkan berbekam sekitar pukul 9 pagi hingga 3 petang.
Dipercayai pada waktu itulah tarikan graviti bulan menjadi paling kuat dan darah lebih mudah mengalir di bawah kulit. Ini lebih memudahkan pengeluaran darah yang bertoksik.
Pada waktu-waktu itulah jadual tempahan mengurut dan berbekam Lela menjadi padat.
Malangnya, Lela sering menjadi buah mulut penduduk kampung kerana dituduh mengganggu rumah tangga orang. Jamil bernikah dengan Lela untuk menyelamatkan Lela daripada fitnah. Niatnya suci. Sekurang-kurangnya Lela selamat dalam jagaannya yang sah.
“Apa pun alasan kau, mak tetap tak dapat terima si Lela tu. Tak ada sebab kenapa dia mesti jadi menantu aku! Menantu aku, Maria seorang!”
Emak cukup marah apabila mengetahui Jamil berkahwin lagi. Suaranya memetir.
Begitu keras hati emak. Walaupun Jamil berkemampuan berpoligami namun emak tetap menolak pernikahan Jamil dengan Lela. Emak tak restu. Maria pula sudah tiada suara. Dia isteri yang terlalu baik. Tidak pernah membantah dan menurut segala perintah suami. Sentiasa pandai mengambil hati emak. Dia memang pilihan emak sejak dulu lagi. Emak sering memuji Maria. Maria pandai masak. Maria cantik.
Maria lembut.
Kali pertama Jamil memberitahu Maria yang dia telah menikahi Lela, Maria menangis tetapi tidak memberontak. Dia mencermin dirinya dan melihat perlahan-lahan apa yang kurang dalam dirinya.
“Apa kurang Maria, bang?” Itulah soalan pertama meluncur dari bibir wanita anggun itu. Soalan klise seperti skrip drama televisyen.
Jamil memandang tepat pada wajah isterinya yang solehah itu. Maria sentiasa menjaga tingkah laku, beradab, tidak pernah meninggalkan solat, menutup aurat. Pendek kata sempurnanya Maria sebagai isteri yang bakal mendiami syurga.
Abang Long dan Kak Ngah sudah beberapa kali merancang mencari jalan perdamaian di antara emak dengan Lela. Maria, walaupun tidak pernah membantah perkahwinan Jamil dengan Lela namun dia sendiri enggan berbaik-baik dengan Lela.
Baginya Lela telah merampas sebahagian masa dan kasih sayang Jamil daripadanya. Selepas berkahwin dengan Lela, Jamil jarang-jarang berada di rumah. Bukan sahaja kerana pekerjaannya yang menuntut dia berada di luar daerah namun kerana penggiliran bermalam di rumah Lela dan rumah Maria dilaksanakan dengan seadil-adilnya.
“Lela hendak jumpa emak, Abang Long,” Jamil membuka mulut memulakan perbincangan awal.
“Bawalah Lela ke rumah emak,” saran Abang Long. Pandangannya beralih kepada Kak Ngah yang baru muncul dari dapur bersama sedulang kopi O panas dan tempe goreng lengkap dengan sambal kicap.
“Tapi mak kata dia tak nak jumpa Lela. Itulah yang Jamil nak minta bantuan Abang Long dan Kak Ngah. Pujuklah mak,” Jamil seolah-olah merayu memohon pertolongan Abang Long. Wajah Kak Ngah separuh sayu memandang Jamil. Simpati juga dia dengan adik bongsunya itu.
Kalau diikutkan hatinya, dia juga seperti emak. Berang dengan tindakan Jamil.
“Kau berdoa sajalah, Jamil. Mudah-mudahan pintu hati emak tu terbuka nak terima Lela,” ujar Kak Ngah sambil menghulurkan kopi O panas.
Jamil menyambutnya dengan senyuman yang hambar. Hatinya gusar. Abang Long memandang Jamil sepintas lalu.
“Jamil, kenapa kau nikah tidak beritahu Maria dan emak?” Tanya Abang Long tanpa berselindung.
Jamil membalas pandangan Abang Long dengan seribu kerutan. Cawan kopi O berlaga dengan piringnya apabila dia meletakkannya di atas meja. Pahit-pahit manis kopi O bancuhan Kak Ngah. Sama seperti kehidupannya.
“Sebab…itu bukan syarat sah kahwin.”
Abang Long dan Kak Ngah saling berpandangan. Abang Long meraup wajahnya yang berkumis nipis. Kak Ngah mencebik dan menjeling.
Kedua-duanya nampak tidak bersetuju dengan jawapan Jamil. Jika itulah alasan yang diberikan oleh Jamil, maknanya Jamil sengaja mengundang masalah. Pernikahan dengan Lela yang pada awalnya dirahsiakan akhirnya pecah jua.
Semuanya berpunca daripada Lela sendiri yang memuat naik gambar majlis perkahwinannya dengan Jamil di media sosial. Seisi keluarga terkejut dan diserang huru-hara. Pun begitu Jamil tetap tenang. Tidak pula dia menyalahkan Lela. Lela berhak menyebarkan berita perkahwinan mereka walaupun agak lewat.
Tanpa pengetahuan Jamil, Abang Long dan Kak Ngah sepakat berjumpa di kediaman emak. Sebenarnya tiada apa pun yang hendak dibincangkan dalam pertemuan itu selepas diketahui Jamil selamat memadukan Maria. Emak diam seribu bahasa. Air mata menjadi lukisan hatinya. Emak tidak dapat menutup kesedihannya. Perkara sudah berlaku, tiada guna dibincangkan lagi. Begitulah menurut bicara hati emak.
***
Tubuh emak semakin susut. Wajah tuanya semakin terserlah. Lemah semangatnya semakin ketara. Emak keseorangan di rumah. Sebelum jatuh sakit emak tidak kisah tinggal bersendirian.
Kudratnya mampu menanggung tubuh tuanya tanpa bantuan sesiapa.
Sesekali Jamil datang ke rumahnya untuk membersihkan halaman. Sesekali Jamil datang menghantar barang dapur dan mengemas rumah.
Sesekali Jamil meluangkan masa dengan emak dengan memasak lauk kegemaran emak. Emak suka sambal goreng. Hatinya girang apabila Jamil masak sambal goreng. Pun begitu hatinya tetap terbuku duka. Enggan bersembang-sembang dengan Jamil.
Namun sejak emak tergelincir di bilik air, kakinya semakin berat untuk berjalan walaupun hanya dua tiga langkah. Jari-jemarinya juga semakin lemah untuk melakukan rutin harian. Urat kaki emak terseliuh. Mujurlah tidak patah. Emak terlantar di katil dengan pergerakan yang terhad.
Jamil tidak dapat menjenguk emak pada setiap masa kerana mengurus anak dan kerjanya. Abang Long dan Kak Ngah pula tinggal berjauhan dengan emak.
Mujurlah Lela sanggup berkorban. Setiap hari Lela datang ke rumah emak. Pagi-pagi lagi Lela sudah memandikan emak. Menyiapkan emak sebaik-baiknya. Menyediakan sarapan untuk emak dan membersihkan katil emak.
“Emak, antibiotik ini mesti dihabiskan. Mak makan ubat ini lepas makan tengah hari,” bicara Lela sopan dan lembut seusai dia menyuapkan emak bubur ayam.
Emak diam tanpa reaksi. Angguk tidak geleng pun tidak.
Lela akan beredar dari rumah emak sebaik sahaja selesai memberi ubat kepada emak. Menjelang tengah hari nanti dia akan datang lagi untuk menghantar makanan tengah hari. Dan hampir setiap hari Lela akan mengurut emak.
Urutan itu bukan sahaja untuk memulihkan saraf dan urat emak namun lebih daripada itu dia mengurut kasih sayang bersulam doa. Emak tidak membantah kerana dia sedap dan selesa diurut. Dalam kondisinya yang lemah walaupun tidak tenat, emak menerima seadanya apa saja yang Lela lakukan.
***
Seperti malam-malam lain, Jamil akan terjaga sepertiga malam. Walaupun matanya berat dan minta dikatup dan melayan mimpi-mimpi indah namun hatinya tetap kuat untuk melaksanakan solat malam.
Dia cuma mahu berdoa untuk emak. Dia mengakui kesalahannya apabila mengecilkan hati emak kerana mengahwini Lela. Dia tahu emak sangat kecewa. Dia sudah meminta ampun dan insaf dengan perbuatannya.
Dosanya dengan Allah tidak dapat tidak dia wajib bertaubat juga. Jamil meratap hiba dengan segala dosanya terhadap emak. Bersungguh-sungguh dia memohon keampunan dan berdoa agar emak menerima kehadiran Lela.
“Ya, Allah… Tuhan yang menduduki singgahsana dan segala isinya. Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dan segala isinya. Tuhan yang menguasai seluruh alam ini dan segala isinya. Engkau ampunilah segala dosa-dosaku. Engkau bukakanlah pintu hati emak untuk menerima isteriku. Engkau damaikanlah hati-hati kami. Engkau berikanlah petanda dan petunjuk-Mu, Ya Rabb!”
Air mata Jamil mencurah-curah. Dalam kegelapan malam yang ditemani bunyi cengkerik, dia berulang kali memohon doa yang sama.
Hampir kering air matanya barulah dia lanjutkan dengan zikir dan wirid sehinggalah berkumandangnya azan subuh.
Belum pernah lagi Jamil gagal mengharungi solat malamnya yang memberat itu selepas Kak Ngah menyuruhnya berdoa setelah segala usaha merapatkan hubungan emak dengan Lela menemui jalan buntu.
Hari itu Jamil bermalam di rumah emak. Emak semakin pulih. Tangan dan kakinya sudah boleh bergerak pantas. Namun masih terbatas.
Jamil menapak ke dapur mahu menyiapkan sarapan. Emak sudah terlebih dahulu berada di dapur dengan teh halia terhidang di atas meja.
Aroma halia menusuk hidung Jamil. Dia teringatkan Lela yang akan menghidangkan teh itu jika gilirannya di rumah Lela.
“Kau kena minum teh halia ini. Lela kata boleh buang angin dalam badan,” bicara emak mengejutkan Jamil.
Emak hadam nasihat Lela? Wajah Jamil berkerut. Pun begitu dia tetap diam lalu menarik kerusi dan duduk menghadap teh halia dan lempeng panas. Lengkap pula dengan sambal tumisnya.
Jamil termenung seketika. Dia memandang hidangan di hadapannya. Hidangan yang biasa Lela sediakan untuknya. Emak turut duduk di hadapan Jamil, mencubit lempeng sedikit demi sedikit sehingga licin. Selera emak bukan kepalang semenjak boleh bergerak semula.
“Lela datang lambat hari ini. Dia mengurut orang bersalin di baruh. Kau makanlah dulu, emak tunggu dia di anjung,” sekali lagi Jamil terkedu.
Emak lebih tahu tentang Lela berbanding dirinya sendiri. Emak bangkit meninggalkan Jamil. Wajah Jamil berkerut lagi.
Teh halia di hadapannya dihirup perlahan-lahan. Bukan sahaja aroma halianya bahkan rasanya pun sama seperti teh halia air tangan Lela.
“Mak, Jamil janji tak kahwin lagi…,” Jamil bermonolog memandang teh halia yang masih berbaki di cangkirnya.
Dia tersenyum seorang diri. Tanpa disedari emak juga tersenyum di belakangnya. – UTUSAN










