Bilah-bilah roti

Bilah-bilah roti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ibu, Fayyadh nak makan roti nanti boleh? Teringin sangat nak makan roti.”

Waktu itu, engkau baru sahaja berumur enam tahun. Suara engkau seperti pasir yang belum disentuh angin gurun. Jernih dan jujur.

Aku masih ingat pada hari itu, matahari tergantung rendah dan jalan-jalan sempit di kejiranan kita yang berdebu seperti biasa.

Fayyadh, engkau duduk di atas lantai rumah. Engkau merapatkan lutut ke dada. Mungkin engkau kesejukkan ketika itu.

“Nanti kalau ada rezeki lebih ibu beli tepung gandum ya. Kita uli tepung sama-sama,” jawabku sambil menyisip hujung kain tudung ke bawah dagu.

Mata engkau membesar dengan penuh semangat seperti ada dunia yang sedang dibina dalam fikiranmu.

“Fayyadh nak roti panjang macam dalam surat khabar itu. Roti panjang macam pisau. Nanti kalau kita kena serang dengan askar-askar jahat. Fayyadh boleh guna roti itu jadi senjata! Ibu, nanti Fayyadh kalahkan mereka dengan sebilah roti itu!”

Aku tergelak kecil, tapi tawa itu tidak pernah sampai ke dada. Ada sesuatu yang mendalam apabila engkau menyebut ‘pisau’. Ia menghiris jiwaku perlahan.

“Bukan sayang,” kataku sambil membelai rambutmu yang kasar disentuh debu dan angin. “Kita bukan panggil sebilah roti, tapi kita sebut sebagai sebuku roti. Dan roti itu bukan roti pisau. Itu dipanggil roti baguette. Ia berasal dari tanah Perancis sana.”

“Bag-get?” Engkau ulang dengan lidah pelat dan ketawa puas seperti telah menakluk satu dunia hanya dengan menyebut perkataan asing.

Sekarang, aku tidak pasti sama ada engkau masih ingat tentang roti itu. Atau tentang impianmu untuk menewaskan tentera dengan sekeping roti keras yang boleh mematahkan gigi.

Tetapi aku masih ingat. Aku sentiasa ingat setiap patah kata serta setiap mimpi kecil yang tumbuh dalam rumah kita ini. Mungkin kerana langit sentiasa berwarna jingga dan jarang membiru. Bintang yang kita sentiasa lihat di langit adalah daripada roket-roket musuh.

Di rak dapur usang kita masih ada sebiji pinggan yang retak yang pernah engkau gunakan untuk minta “roti pisau”.

Namun hari ini, aku berdiri sendirian. Tiada suara kecilmu yang menyebut “bag-get”. Tiada tangan kecil yang menarik hujung bajuku dan bertanya bila kita akan ke pasar.

Hanya sepi yang menjadi temanku.

Dan aku masih menanti hari di mana aku boleh belikan engkau sebuku roti itu. Mungkin bukan di dunia ini. Tapi di satu tempat lain, di tanah yang kita menjadi penduduk yang merdeka.

Sekarang Fayyadh, engkau sedang menyambung pelajaran di bumi Mesir. Tanah para Nabi dan bumi ilmu yang pernah menjadi pelita dunia. Mengejar cita-citamu untuk mendalami ilmu fiqh.
Dan aku di sini.

Di bumi Gaza yang masih berdebu dan berdarah. Tapi di celah-celah puing dan dihujani siren kecemasan, aku tetap mengeja namamu dalam sujudku pada setiap malam. Rindu ini tidak pernah kurang, malah semakin sarat sejak hari kau melangkah pergi dengan segunung harapan.

Untuk menanggung rindu ini, aku menulis catatan seperti ini.

Harap-harap dengan usaha aku menulis ini, kenangan kita tidak hilang ditelan waktu. Aku sentiasa percaya yang engkau tahu, dalam setiap bait yang aku tulis, ada wajahmu yang menjelma.

Adakah engkau ingat pada suatu malam dulu, kita berdua duduk di tikar buruk sambil berkongsi roti keras yang hanya tinggal separuh?

Engkau tidak pernah merungut. Walaupun roti itu makanan kegemaranmu. Dan aku, walaupun hatiku hancur kerana tak mampu beri lebih, tetap tersenyum kerana engkau tetap nampak kenyang.

Wahai anakku, engkau mungkin sudah dewasa. Tapi di mata seorang ibu, engkau masih si kecil yang menyebut “roti pisau” dan bercita-cita menewaskan tentera dengan baguette.

Dan ketika rindu ini menjadi terlalu sunyi, aku teringat akan satu hadis daripada Riwayat Tirmizi yang berbunyi, ‘Reda Allah terletak pada reda ibu bapa dan murka Allah terletak pada murka ibu bapa.’

Maka aku reda, Fayyadh.

Sesungguhnya aku sentiasa reda engkau berjauhan demi ilmu. Hati ini aku ihklaskan kerana engkau hendak menuntut ilmu. Dan aku mohon kepada Allah agar engkau juga reda dengan segala kekurangan ibumu ini.

Jangan engkau marah ya Fayyadh yang aku cuma mampu mengirim doa dan tulisan sebagai ganti peluk dan cium. Ketahuilah yang aku sangat rindu pada engkau. Ibu mana yang tidak rindu akan anaknya yang berjauhan.

Dan apabila rindu itu datang terlalu kuat, aku kembali ke satu kenangan. Seingat aku engkau ketika itu berumur sepuluh tahun.

Kita masih berada di kem tumpangan sementara, di bawah naungan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Khan Yunis. Hanya khemah-khemah lusuh berdiri memayungi harapan kita yang sentiasa goyah.

Hari itu, bantuan pun sampai. Tepung gandum!

“Ibu! Ibu! Kita boleh buat roti! Fayyadh nak yang bulat-bulat tu. Ibu janji ya, nanti bakar untuk Fayyadh?”

Engkau terkinja-kinja gembira seperti mendapat emas yang paling berharga di dunia. Aku hanya mampu mengangguk. Sesungguhnya aku sangat kasihan kepada engkau ketika itu. Muak menghirup sup rebusan rumput sama dedaun hijau cukup sekadar membasahkan tekak kering ketika itu.

Tapi belum sempat kita pulang, ada bunyi enjin kecil menderu di dada langit. Semua orang menoleh.

Ada yang berkata, “Itu mungkin dron bantuan. Mungkin daripada UNHCR!”

Tetapi tidak, Fayyadh.

Ia datang tanpa sebarang bantuan. Ia datang seperti iblis yang mahu mengintai, lalu membunuh.

Dalam kekalutan, engkau berlari ke arah aku. Malangnya Fareed, abang sepupumu, terlebih dahulu menyambar guni tepung yang kita baru terima.

“Mak cik! Biar saya yang bawa guni tepung gandum ini.”

Aku sempat melihat senyumannya sebelum dia berpaling. Hanya sekelip mata dan dunia bertukar merah.

Dentuman itu bukan hanya meranapkan khemah kita. Ia meranapkan hati.

Aku berlari dan menjerit memanggil nama abang sepupumu, Fareed. Tapi hanya tepung yang berterbangan. Dan darah merah pekat di atas lantai debu. Bersama sisa kain dan cebisan tubuh.

Dron itu merupakan dron bom Fayyadh. Kejam sungguh mereka!

Engkau terdiam. Tidak juga menangis. Tubuhmu terus beku tidak bergerak. Matamu hanya tertancap pada satu titik. Pada setompok cecair merah pekat yang bercampur dengan tepung gandum yang kau idamkan.

“Ibu… tepung roti kita… rosak… Abang Fareed…”

Kata-kata itu keluar perlahan dari mulutmu.

Aku masih ingat bagaimana engkau memeluk lututmu, seperti mahu meringkuk kembali ke dalam rahim aku. Malam itu engkau dan aku tidak tidur.

Terus aku duduk memandang wajahmu yang pucat, sambil melafazkan satu doa, “Ya Allah, jangan ambil senyuman anakku. Juga engkau tempatkanlah anak saudaraku di taman-taman syurga-Mu Ya Allah! Aku rasa terlalu bersalah kepada allahyarham abang dan kakak ipar aku kerana tidak berjaya menjaga Fareed. Setidaknya Ya Allah, engkau temukanlah mereka sekeluarga di syurga Firdaus-Mu.”

Dan hari ini, bertahun sudah berlalu. Aku di sini, engkau di sana. Aku masih menulis dan engkau masih menempa takdir demi masa depan.

Tapi ketahuilah, Fayyadh. Di ruang kecil hatiku ini, masih tersimpan bilah-bilah roti yang engkau impikan.

Ada yang belum sempat dibakar. Ada yang hangus kerana kekalutan dan jeritan. Dan ada yang kini hanya tinggal serpihan dalam ingatan. Bertaburan bersama debu dan cecair merah tubuh.

Namun walaupun retak dan terbelah-belah, setiap bilah itu menyimpan rasa. Suatu perasaan kasih yang tidak pernah basi. Rasa luka yang tidak pernah sembuh. Dan emosi yang bernama rindu itulah yang akan aku bentangkan menjadi doa setiap kali langit Gaza menjadi jingga.

“Bilah-bilah roti”, itulah hidup kita, sayang.

Dalam setiap bilah itu, ada wajah Fareed yang pergi terlalu awal. Ada tangan kecilmu yang dulu menguli tepung bersama aku. Ada tawa yang pernah bergema meskipun langit runtuh di atas kepala kita.

Dan selagi aku masih bernyawa, aku akan pastikan satu perkara, “Bahawa setiap bilah roti yang terbelah-belah itu akan kekal hidup dalam ingatanku, dalam tulisanku dan dalam doaku.”

Kerana inilah kenangan kita Fayyadh.

Memori dan kasih sayang yang dibelah bersama, disimpan dalam lipatan hidup yang tidak akan hilang walau zaman berlalu.

Dan bila engkau sudah cukup dewasa nanti, pulanglah.

Kita akan duduk di tikar itu sekali lagi.

Aku masih duduk di sini dan masih menulis. Pena ini masih menari-nari di atas helaian koyak yang aku selit di antara runtuhan batu dan besi berkarat.

Tempat ini. Ya, tempat ini dulunya rumah kita. Atau sebahagian yang tinggal daripada rumah kita.

Aku khusyuk menulis untukmu, Fayyadh. Jari-jariku penuh debu, mataku pedih dengan cahaya matahari yang mencurah dari celah bumbung yang sudah lama roboh.

Namun aku tidak bergerak. Aku masih memanggil namamu perlahan. Masih percaya yang engkau berada di Mesir, bukan di bawah sini.

Engkau akan balik.
Suatu hari nanti engkau akan senyum bawa kitab Usul-Fiqh dari Al-Azhar dan berkata, “Ibu, Fayyadh dah balik. Mari kita bakar roti.”
Tapi lamunanku disentak kasar oleh suara tua yang aku kenal.
“Khadijah!”

Suara itu daripada Mak Cik Saadiah, jiran lama kita. Satu-satunya saksi yang tinggal pada hari bangunan ini gugur. Bukan kerana gempa, tapi kerana kejamnya manusia yang tidak mengerti definisi manusiawi.

“Khadijah, kenapa kau masih di sini?” katanya sambil memegang bahuku yang menggigil.

Aku tidak menjawab. Aku hanya menoleh dengan mata berkaca. “Dia akan balik, Saadiah Dia akan balik dari Mesir. Dia belajar di sana. Engkau ingat, bukan? Dia belajar Usul-Fiqh. Tak lama lagi habislah pengajiannya.”

Wajah Mak Cik Saadiah berubah, matanya mula berkaca juga. Terus dia menggenggam tanganku dengan erat dan duduk di sisiku.

“Khadijah, Fayyadh sudah lama syahid. Fayyadh pergi bulan lepas, Khadijah.”

Dan untuk seketika bumi seakan berhenti berputar. Nafasku berat. Langit terasa sungguh dekat. Terasa satu demi satu lapisan menghempap bahuku.

“Khadijah, engkau tahu Nabi SAW pernah bersabda daripada sahabat yang bernama Abu Musa Al-Asy’ari. Apabila anak seorang hamba Allah meninggal dunia, Allah bertanya kepada malaikat, ‘Apakah kalian mengambil anak hamba-Ku?’ Lalu Malaikat menjawab, ‘Ya.’ Kemudian Allah bertanya lagi, ‘Apakah kalian merenggut buah hatinya?’ Dan Malaikat pun menjawab, ‘Ya, benar.’ Lalu Allah bertanya lagi, ‘Apakah tanggapan hamba-Ku?’

Malaikat pun berkata, ‘Dia memuji-Mu dan mengembalikan urusan ini kepada-Mu.’ Maka Allah berfirman, ‘Dirikanlah sebuah istana di syurga untuk hamba-Ku itu. Namakan istana itu Baitul Hamdi. Atau dipanggil sebagai

Rumah Pujian.’”

Pena terlepas daripada tanganku. Kertas itu melayang ditiup angin. Tapi aku tidak kejar. Aku hanya tunduk dan buat pertama kalinya dalam sekian lama aku menangis bukan kerana kehilangan, tetapi kerana cinta yang terlalu dalam untuk disimpan sendirian.

Baitul Hamdi. Kalbuku bergetar. Rumah pujian untuk seorang ibu yang merelakan anaknya kembali kepada Tuhan.

Maka hari ini, aku tidak akan lagi menunggu roti dibakar. Aku akan menunggu masa untuk duduk bersama engkau di tikar yang tidak reput. Di rumah yang tidak boleh runtuh, di tempat yang tidak ada lagi siren, tidak ada lagi dron, tidak ada lagi debu dan darah.

Dan di sana nanti, kita akan sambung membelah roti.

Bilah demi bilah, tanpa air mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×