Renjong

Renjong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hanya beberapa bulan selepas Datuk Mariah Abbas menjadi wanita pertama sebagai Perdana Menteri Negara, pihak pembangkang sudah mengeluarkan sebuah referendum. Perdana Menteri itu dikatakan terlibat dengan kegiatan luar negara yang bertujuan mengharu-birukan negara. Kejayaannya pun kerana bantuan dari negara luar itu. Perbuatan itu bertentangan dengan perlembagaan. Ini sebuah imperialisme baru.

Malah, semua janji dan manifesto dikatakan telah dilupakan. Janji hanya tinggal janji. Kehidupan rakyat menjadi lebih terhimpit, barangan utama melambung tinggi.

Parti Solidariti Kebangsaan di bawah pimpinan Datuk Mariah Abbas sendiri sudah berlaku keretakan dalaman. Ramai ahli menggesa dilakukan segera perhimpunan agung yang sudah tertangguh lebih dua tahun. Mereka sudah menyediakan kepimpinan baru dalam pilihan parti untuk perhimpunan agung itu. Parti Suara Rakyat pula sudah bersedia berhadapan dengan apa jua tindakan. Parti terbesar negara yang sudah runtuh itu telah bangun semula.

Suhaila selaku setiausaha politik dan peribadinya, bekerja keras untuk mengetepikan segala serangan dan penentangan itu. Kecerdikan dan kebijaksanaan Suhaila sudah terbukti. Kemenangan

Parti Solidariti Kebangsaan dalam pilihan raya dan pemilihan Datuk Mariah Abbas sebagai Perdana Menteri adalah hasil kegigihannya. Tidak mengira sama ada hari hujan atau panas terik,

Suhaila terus menjadi orang kuat Datuk Mariah. Ijazah sarjana pengurusan politik Universiti Harvard dengan petah berbahasa Inggeris, Arab dan Mandarin itu, yang telah memastikan kemenangan Datuk Mariah dalam pilihan Perdana Menteri lalu. Lagi pun Suhaila sendiri sebelum itu mempunyai pengalaman istimewa, bekerja selama lima tahun sebagai pembantu kepada

Datuk Bandar London, dan empat tahun kemudian sebagai setiausaha kerja kepada Perdana Menteri Britain.

Malah, ahli majlis Kabinet yang baru dilantik juga berhempas pula menafikan segala serangan para pembangkang itu. Mereka berada di belakang Datuk Mariah Abbas, dan mempastikan kerusi yang diduduki oleh Datuk Mariah Abbas terjamin.

“Beberapa kumpulan ahli parti telah berbincang, menyediakan petisyen, akhirnya mengemukakan sebuah referendum,” ujar seorang ketua bahagian parti. “Parti pembangkang juga menyediakan referendumnya.”

Suhaila yang sudah bergelar Datuk itu tersenyum, “mungkin ada yang cemburu atau marah kerana tidak terpilih sebagai ahli majlis Kabinet,” katanya.

“Biar apa pun, semua ahli Kabinet mesti menjalankan tugas masing-masing dengan cekap dan cermat. Buat siasatan. Dahulukan kepentingan rakyat.” Datuk Mariah menamatkan perhimpunan mingguan Kabinet pagi itu.

Datuk Suhaila telah mengatur perjalanan Datuk Mariah, untuk mendekatkan dengan rakyat. Antaranya mengadakan majlis jamuan terbuka untuk rakyat tempatan. Tujuannya memberi kesempatan kepada Datuk Mariah berdamping dengan rakyat, sambil menerangkan bagaimana negara diperintah. Hal yang sama, diatur untuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Shahriman yang bergerak ke masjid demi masjid, menemui rakyat dan kemudian memberi ucapan menerangkan mekanisme kerajaan memperbaiki taraf hidup yang selama ini dikatakan sangat meleset itu.

“Percayalah kepada kerajaan baru, kerajaan akan memenuhi kehendak rakyat. Kementerian yang kita tubuhkan akan berusaha memperbaiki nasib rakyat, seperti yang dijanjikan dalam 50 manifesto Parti Solidariti Kebangsaan menjelang pilihan raya yang lalu. Terima kasih kerana memilih Parti Solidariti Kebangsaan untuk mentadbir negara ini.” Begitu antara isi penting ucapan

Timbalan Perdana Menteri.

Begitulah saban bulan rakyat diperkukuhkan keyakinan kepada kerajaan. Barangan yang dahulu dikatakan naik melambung telah dikurangkan. Pihak tertentu yang melakukan kesalahan menaikkan harga barangan itu dibawa ke mahkamah, dan dikenakan hukuman berat. Sementara itu, seperti amalan Perdana Menteri sebelumnya, sebaik sahaja dilantik Datuk Mariah Abbas akan membuat lawatan muhibbah kepada beberapa negara jiran tetangga untuk memperkukuh ukhuwah. Kemudian berpindah kepada negara-negara maju, mengajak mereka membuat pelaburan untuk menyediakan pekerjaan baru kepada rakyat.

Kerajaan yang kelihatannya begitu dinamik dan aktif itu, sebenarnya banyak bergantung kepada pentadbiran dan pengurusan, yang diketuai Datuk Suhaila. Dia bekerja dengan kuatnya.

“Tentangan pembangkang dibantu oleh beberapa buah media juga.” Datuk Suhaila berbisik dengan suara halus. “Mereka bergerak secara tersusun dan penuh strategik. Kita perlu bertindak cepat. Kurangkan kuasa media massa itu.” Cadangnya kepada Perdana Menteri.

“Saya pun mengikuti gerakan mereka itu.” Perdana Menteri mengakuinya. “Buatlah sesuatu untuk menghalang atau mengurangkannya,” sambung Datuk Mariah Abbas.
Datuk Suhaila memanggil semua ketua pengarang beberapa media, termasuk luar negara yang berpangkalan dalam negara. Datuk Mariah dalam ucapannya memberi amaran, kegiatan negatif pihak media itu, boleh merosakkan perancangan negara.

“Bukankah YAB telah menjamin kebebasan bersuara,” celah seorang ketua editor akhbar tempatan yang berpengaruh.

“Kita jamin kebebasan bersuara, tetapi ada batasnya. Utamakan berita yang benar.”

Datuk Suhaila juga mengatur supaya Menteri Kesukanan dan Kesenian Negara diberi tugas mendekatkan diri dengan anak-anak muda. Suasana sambutan kepada sukan, terutamanya bola sepak haruslah diberi perhatian. Begitu juga anak-anak muda yang gilakan hiburan harus dipantau, supaya betul kiblat mereka.

“Hampir separuh pasukan liga utama negara ini mengalami kekurangan dana.” Hassan Badur selaku Menteri Kesukanan dan Kesenian Negara itu melaporkan.

‘Kita bantu, berunding dengan Menteri Kewangan bagaimana kita boleh tolong pasukan yang bermasalah itu,” kata Perdana Menteri.

Kelab-kelab yang bermasalah, terutama soal tunggakan gaji dengan pemain import dengan cepatnya dapat diselesaikan. Usaha merungkai permasalahan yang menghantui bola sepak negara itu, membuat rakyat terutamanya anak-anak muda jatuh cinta kepada kerajaan baru pimpinan Parti Solidariti Kebangsaan itu.

Mereka menafikan siapa kata wanita tidak boleh menjadi Perdana Menteri? Terbukti dalam beberapa hal lebih baik daripada lelaki. Begitulah hari demi hari kerajaan wanita itu mendapat sokongan rakyat. Segala permasalahan rakyat cuba diatasi.

“Masih terdapat akhbar yang menentang kita. Malah, ada penyiar television menyediakan ruang media untuk pembangkang.” Kata Datuk Suhaila.

“Kita harus menyediakan television sendiri. Television kerajaan, tempat kita menghebahkan perancangan dan pelaksanaan kerajaan.” Cadang Datuk Suhaila.

Datuk Mariah Abbas memandang mata setiausaha sulit dan politiknya, “bagus, cadangan yang baik.” Datuk Mariah Abbas menerima.

Sejak itu sebuah saluran television kerajaan disediakan. Meski mendapat tentangan yang hebat daripada pelbagai media massa, television kerajaan akan beroperasi menurut penjadualannya.

Kerajaan sanggup menyediakan kewangan yang besar, kerana sedar dalam zaman terkini, television sangat mempunyai pengaruh yang besar dalam dunia global.

“Saya telah sediakan ucapan sebagai pembuka television kita. Yang Amat Berhormat juga akan mengisytiharkan kenaikan gaji penjawat awam.”

Begitulah rakyat semua ternanti-nanti detik bersejarah itu. Lebih-lebih lagi kepada penjawat awam yang akan menunggu durian runtuh. Namun, kepada para pembangkang menandakan akan bermulanya perang besar di media sosial.

Begitulah, pada suatu pagi yang tidak tahu datangnya bagai angin ribut, muncul seorang lelaki, lalu meletakkan sepucuk revolver bersedia untuk membunuh. Datuk Suhaila terkejut dan menggeletar. Bagaimana tiba-tiba lelaki ganas itu memasuki biliknya.

“Anda adalah petualangnya.” Ujar lelaki itu keras tetapi terkawal. Datuk Suhaila cuba mengecamnya, tetapi rasanya tidak pernah menemui wajah lelaki itu.

“Aku tahu sejarah kamu,” kata lelaki itu. “Tapi kau tak tahu aku siapa? Aku adalah ketua mafia di sini.” Katanya memperkenalkan diri dengan suara garaunya.

Datuk Suhaila cuba menenangkan dirinya. Memang biasanya dia duduk di biliknya berseorangan. Di bilik sepi itulah dia merancang segala-segalanya untuk kerajaan Datuk Mariah Abbas. Dia tidak suka diganggu. Privasi yang disediakan oleh Perdana Menteri wanita itu.

“Aku ingin memberi amaran kepada kamu. Kamu jangan memandai-mandai, sepuluh juta graduan menjadi penganggur, kamu sibuk menaikkan gaji penjawat awam. Lagi pun kamu jangan memandai-mandai melumpuhkan kuasa televisyen kami. Dunia mengakui kuasa kami. Kini kami menghadapi tekanan, semata-mata televisyen kerajaan kamu,” sambil ketawa kecil dia berkata dengan sombongnya, “esok ada pesta rakyat jalanan.”

Datuk Suhaila tidak memahami maksudnya. Dan tiba-tiba lelaki itu menghilang daripada pandangan. Sekujur tubuhnya menggigil, tetapi dia cuba merealisasikan dirinya. Kemudian dia keluar bilik. Semuanya berjalan seperti biasa. Kawalan keselamatan juga berfungsi seperti biasa. Betul, esoknya ada pesta jalanan. Demonstrasi. Bermula dari kampus universiti para demonstran menuju parlimen. Polis segera menyekatnya. Tetapi, lautan pelajar sangat kuat mendesak. Tembakan gas dilepaskan, tidak menjejaskan gerakan para demonstrasi itu. Mereka berjaya memasuki dewan bankuet dan terus ke bilik persidangan parlimen. Ketua pendemonstrasi menduduki kerusi yang dipertua persidangan lalu memberi ucapan. “Maka dengan ini diisytiharkan bahawa kamu Datuk

Mariah Abbas akan digugurkan sebagai Perdana Menteri negara.”

Dan sejurus kemudian bilik persidangan parlimen digoncang oleh suara tembakan tentera, membuat pendemostrasi itu lari tunggang langgang. Kini Datuk Mariah Abbas berada di tengah ajang pertarungan. Nampaknya pembangkang berhasil membakar jiwa para mahasiswa, dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaannya. Tentulah tidak semudah yang dijangka, Datuk Mariah Abbas mempunyai teras dan tulang belakang yang kuat, tidak akan terjatuh tersungkur begitu sahaja.

Banyak kerajaan di dunia mudah terperangkap dan tertangkap dengan revolusi pelajar yang disokong oleh pembangkangnya. Tetapi kerajaan Datuk Mariah Abbas kuat hubungannya dengan kuasa besar luar negara, yang segera memberi pertolongan.

Namun terdapat kerajaan besar luar negara, sudah bekerjasama dengan para demonstran. Malah, itulah yang terjadi sebelumnya. Sudah lama secara rahsia negara luar berdiskusi dengan ketua para pelajar. Juga semua parti pembangkang.

Datuk Mariah Abbas sememangnya tertekan dengan demonstrasi itu. Apa lagi ia berterusan dengan disambut oleh beberapa universiti lainnya di seluruh negara. Angkara pembangkang ini dihadapinya dengan apa juga keupayaan.
Datuk Mariah Abbas sudah kehilangan orang harapan. Apakah ia angkara politik? Demonstrasi sudah mengelilingi seluruh negara. Semua pelajar di 50 universiti awam turun ke jalan-jalan raya.

Menggesa Datuk Mariah Abbas dipecat.

Ada usaha meminta pertolongan daripada kuasa besar luar negara, tetapi jawapannya kosong. Memadamkan demonstrasi adalah urusan dalam negeri. Para pembangkang dan pelajar juga sudah berkuasa. Negara hampir lumpuh. Polis sendiri tidak ada kuasa menahannya.

“Ini tentu gara-gara Parti Suara Rakyat. Mereka kalah, tapi mereka bangun semula.” Datuk Mariah Abbas dengan suara geram tetapi nekad.

“Mereka sudah menguasai parlimen. Juga pihak pertahanan dan keselamatan menyebelahi mereka,” Tan Sri Shahriman, Timbalan Perdana Menteri dengan suara lemah.

Biasanya Datuk Mariah Abbas mendapat nasihat dan bimbingan daripada setia usahanya. Tetapi tiada berita langsung daripada kehilangan Datuk Suhaila.

Demi untuk menyelamatkan negara, Datuk Mariah Abbas dan Parti Solidariti Kebangsaan terpaksa akur. Dan bersedia mempertahankan kekuasaannya dalam pilihan raya baru yang akan diadakan.

“Kita akan terus berjuang,” Datuk Mariah Abbas menyuntik semangat.

Negara kembali tenang, dan akan berhadapan pilihan raya. Tujuan terbesar Parti Suara Rakyat yang pernah dikalahkan oleh Parti Solidariti Kebangsaan itu untuk kembali memerintah negara. Di hari penamaan calon untuk pemilihan kerajaan baru dan Perdana Menteri baru itu, terjadi sesuatu di luar dugaan.

Alangkah terkejutnya Datuk Mariah Abbas daripada Parti Solidariti Kebangsaan yang bertembung dengan Parti Suara Rakyat itu, rupa-rupanya akan berhadapan dengan Datuk Suhaila. Dia akan melawan dengan bekas orang kuatnya sendiri, Datuk Suhaila. Satu sandiwara dan pembelitan yang sangat dramatik, juga sadis.

Begitulah sengitnya pertarungan. Datuk Mariah Abbas akan membuktikan kekuatannya. Dia sangat percaya masyarakat biasa berada di sebelahnya sepertti pilihan raya sebelumnya. Datuk

Suhaila yang tiba-tiba bangun di belakang Parti Suara Rakyat itu juga sudah termaklum sejarah kecerdikannya akan menunjukkan kemampuannya.

Siapakah yang akan menang? Sama ada Datuk Mariah Abbas akan melangsungkan legasinya sebagai Perdana Menteri wanita negara, atau Datuk Suhaila yang ternyata bijak merancang negara, yang rakyat semua tahu kekuatan Parti Solidariti Kebangsaan dahulu hasil usahanya. Masing-masing menyediakan janji dan manifesto dengan kehebatan kempen dan khutbahnya.

“Bolehkah kita percaya semuanya?” kata rakyat yang merasa skeptikal. Dan rakyatlah yang akan memilihnya. Datuk Mariah Abbas atau Datuk Suhaila?

Begitulah akhirnya watikah jawatan Perdana Menteri akhirnya diberikan kepada Datuk Suhaila. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×