Lesen tersurat

Lesen tersurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Petang itu Azmi pulang ke rumah dalam keadaan sugul. Wajahnya sedikit berkeringat di dahi memandangkan cuaca agak panas. Azmi tidak banyak cakap seperti selalu. Dia terus merebahkan punggung di atas sofa sambil menatap telefon bimbit. Fikirannya melayang. Pandangannya kosong. Kata-kata doktor Juriah tadi masih melekat di kotak fikirnya.

Isterinya Lina cuma memerhati dari jauh. Dia cukup mengenali suaminya. Usia perkahwinan mereka telah menjangkau 20 tahun. Biasanya ada sahaja celotehnya bergurau dengan Lina dari muka pintu. Pasti ada yang tak kena. Pagi tadi suaminya ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

“Yang…tadi abang disahkan oleh doktor mengidap diabetes dan darah tinggi..,” kata Azmi perlahan. Wajahnya tertunduk murung. Tangannya memegang buku kecil berwarna hijau. Buku yang

Lina tahu cukup penting dalam kalangan pengidap diabetes. Buku yang digunakan untuk merekodkan tahap kesihatan pesakit diabetis.
“Sabarlah,bang.”

“Ujian Tuhan…mungkin ada hikmah di sebaliknya.”

“Abang jangan stres…ramai lagi orang lain yang lebih teruk keadaannya daripada Abang.” Lina memberi kata-kata semangat buat suaminya. Siapa lagi jika bukan dia untuk meredakan ketegangan imamnya itu.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini Lina dapat melihat perubahan yang ketara dalam diri suaminya. Azmi banyak tidur. Dia juga cepat penat. Kulit tangannya mengalami gatal-gatal. Di sekitar betisnya pula sering tumbuh bisul-bisul kecil seperti jerawat. Dia juga selalu mengalami pening-pening.

Dulu Azmi seorang yang aktif bersukan. Gaya hidupnya berubah apabila tidak aktif lagi bersukan. Tambahan pula selera makannya turut bertambah. Azmi juga mula gemar minum minuman berkarbonat. Dia juga gemar menikmati makanan segera sehingga pada waktu malam.

Berat badannya naik mendadak. Dari 70 kilogram naik sehingga 88 kilogram. Banyak seluar yang dulu selesa dipakai kini tidak lagi boleh dipakai kerana sendat. Azmi semakin malas untuk melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam. Telah menjadi tabiatnya untuk setiba di rumah untuk makan, berbaring sehingga kadang-kadang terlelap. Begitulah rutinnya.

“Insya-Allah kita kena ubah cara hidup kita bang…” kata Lina kepada suami tersayang. Azmi menanggukkan kepala.

Rutin harian Azmi memang cukup sibuk. Seharian penat di pejabat. Waktu rehat tengah hari pula dia akan berkejar mengambil anak pulang dari sekolah untuk dihantar ke rumah. Keselamatan anak-anak menjadi keutamaannya. Keselesaan anak juga menjadi perhatian Azmi.

Di kawasan tempat tinggalnya cuma ada sebuah pengusaha van sekolah. Pernah juga dia menggunakan perkhidmatan tersebut tetapi amat mengecewakan. Anak-anak akan disumbat ke dalam van selagi muat oleh wanita yang mengusahakannya itu.

Melihatkan keadaan itu Azmi lebih rela untuk susah sedikit yang penting anaknya selesa, selamat dan cukup rehat sebelum mengikuti pula Kelas Agama Fardhu Ain pada sebelah petangnya.

Sambil itu ketika pulang Azmi sempatlah berehat sekejap dan akan terus makan tengah hari. Di situ dia dapat menjimatkan sedikit belanja daripada setiap hari makan di kedai. Usai solat Zohor dia akan memecut untuk kembali masuk ke pejabat. Jaraknya tidaklah jauh sangat cuma kesesakan lalu lintas membataskan masanya.

“Maaf, Yang …tak sempat nak makan…petang ni nak kejar ada mesyuarat pula” kata Azmi tergesa-gesa dari tingkap kereta sambil melambaikan tangan. Di sebalik senyumnya itu pasti tersembunyi keletihan.

Kereta yang yang dipandu terus memecut laju. Lina hanya mampu melihat suaminya dengan pandangan yang cukup simpati. Diapun terasa penat melihat suaminya terkejar-kejar menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

“Ya Allah andai aku berada ditempat suamiku…pasti aku dapat rasakan betapa penat kehidupan sehariannya…. Ya Allah permudahkanlah segala urusan suamiku…Aamiin…” Lina cuba menjadi seorang suri yang empati.

Pernah suatu ketika kerana terlampau penat dan kekurangan gula dalam tubuh menyebabkan Azmi pitam. Mujurlah kejadian itu berlaku ketika dia sedang berehat di rumah. Badannya menggeletar. Pandangannya kabur. Melihat keadaan itu Lina segera mencapai sebiji gula-gula lalu disuapkan ke dalam mulut suaminya.

Biasanya begitulah nasihat doktor jika berlaku hipoglikemia. Jika berlaku di tempat lain entah apa kesudahannya. Sejak itu Lina sering menasihati suaminya untuk sentiasa membawa bekal gula-gula di dalam poket.

Namun di sebalik apa yang berlaku itu seperti ada suatu tekanan dalam diri Lina sendiri. Keadaan itu menyebabkan banyak perkara yang difikirkannya. Cuma dia tidak mahu tunjukkan riak gelisah dan bimbangnya itu pada suami.

Lina tidak mahu Azmi semakin tertekan dan susah hati. Selama ini suaminya tonggak untuk sebarang urusan keluarga. Kebimbangan mula membelenggu diri Lina.

“Ya Allah…permudahkanlah urusan kami sekeluarga. Berikanlah kesihatan yang baik untuk suamiku.” Doa dipanjatkan selepas solat Maghrib pada malam itu.

Malam itu Lina tidak dapat tidur lena. Fikirannya berkecamuk memikirkan tahap kesihatan suaminya. Banyak perkara buruk yang difikirkannya walaupun dia cuba mengelak.

“Siapa yang hendak uruskan anak sekolah kalau Abang sakit..?” Persoalan yang berlegar di benaknya. Buntu. Tiada jawapan. Lina kena buat sesuatu untuk lebih bersedia.

“Yang paling penting aku kena pastikan suamiku menjaga pemakanannya setiap hari.”

Sejak itu kehidupan mereka sekeluarga berubah 360 darjah. Lina memastikan mereka sekeluarga mengamalkan gaya hidup
sihat. Setiap hujung minggu Azmi cuba meluangkan waktu untuk bersenam. Walaupun bukannya mudah. Lina juga memastikan menu masakannya pada setiap hari terkawal. Kurangkan masakan bergoreng dan berminyak. Banyakkan makan sayur. Azmi cuba mengamalkan diet pemakanan seimbang dengan mendapat nasihat daripada pegawai pemakanan di klinik kesihatan berhampiran.

Hampir setiap hari juga Lina akan memastikan dia menyiapkan bekal untuk dibawa oleh anak ke sekolah dan suaminya ke pejabat. Dia terpaksa berkorban untuk bangun awal. Usai solat Subuh dia akan bersegera ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi dan bekal untuk anak dan suami.

“Mula-mula memang tak biasa. Insya-Allah lama-lama jadi biasalah. Makanan yang kita masak lebih sihat daripada yang dijual di kedai tu..,” nasihat Lina kepada suami tersayang. Azmi cuma mengangguk sahaja.

“Satu lagi….Abang tu jangan lupa banyakkan minum air masak ye…,” kata Lina lagi sambal menghulurkan bekalan makanan dan minuman yang siap diisi dalam bekas.
*****

“Abang…sayang cadang nak ambil lesen memandu lah” Lina bersuara ketika mereka sama-sama berehat menonton televisyen. Anaknya kakak dan Angah sedang asyik bermain Saidina. Sesekali kedengaran Angah menjerit kerana diusik oleh kakak.

“Boleh ya…?” Tanya Lina lagi. Mereka sekeluarga sama-sama minum petang. Petang itu menunya Lina menyediakan sandwich. Sambil bermain tangan kakak menggapai sandwich satu demi satu.

Sungguh berselera kakak makan. Sesuai dengan badannya yang montel.

“Kenapa nak ambil lesen?”

“Nanti sesekali boleh tolong Abang uruskan anak ke sekolah”

“Kalau itu kata sayang, terpulanglah…,” kata Azmi walaupun berat. Sebenarnya dia telah dapat mengagak. Lina risaukan keadaan kesihatannya.
“Nanti abang bagi duit”

“Tak apa…duit yang Abang beri setiap bulan ada Sayang simpan…Sayang gunakan duit itu je…”

Lina tidak mahu menyusahkan suaminya Azmi. Dia tahu suaminya pun bukannya banyak duit sangat. Selama ini pun suaminya yang menanggung segala perbelanjaan keluarga. Lina cuma suri rumah sepenuh masa. Lina perlu bersyukur.

Walau di usia menjangkau 40 tahun Lina tetap nekad untuk mendapatkan lesen memandu. Dia membuang rasa malu demi tuntutan hidup. Mereka yang bersamanya untuk mengambil lesen ramai terdiri daripada anak-anak muda. Semua berusia lingkungan 30 tahun ke bawah.

“Boleh ke aku ini..?” Sesekali perasaan cuak muncul dalam diri Lina.

“Kenapalah aku tak ambil lesen dari dulu…kan senang,” keluhnya sendiri mengenangkan perkara yang sudahpun berlalu.

Pendaftaran telah pun Lina buat dengan Encik Hadi yang merupakan pekerja di sebuah akademik memandu yang berhampiran rumahnya. Beberapa kali dia telah menghadiri kelas teori.

Seminggu lagi Lina akan menghadapi ujian statik berkomputer. Ada masa terluang Lina pasti tekun menelaah buku panduan sekolah memandu. Tidak mengira siang dan malam. Raut wajahnya membayangkan penat yang dihadapinya. Namun Lina nekad.

Keesokan paginya Lina akan menghadapi ujian. Katanya, pukul 9 pagi. Malamnya tidur Lina serba tak kena. Terlalu sukar untuk dia melelapkan mata.

“Yanggg…tidurlah”
“Jangan difikirkan sangat…” sapa Azmi bila menyedari isterinya masih belum tidur.

“Insya-Allah dipermudahkan segala urusan itu nanti…tidur,” tambah Azmi lagi memberikan kata semangat.

Berkat kesungguhan akhirnya Lina berjaya dalam ujian teori dan berjaya dalam ujian pemanduan seminggu selepas itu. Lesen digenggaman. Syukurnya pada Ilahi kerana memudahkan segala urusan. Lesen itu dapat meredakan kebimbangan yang membelenggunya selama ini. Lina perlu kuat untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Semangat dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh surinya itu cukup dihargai Azmi.

Sejak itu Azmi mengambil keputusan untuk menunggang motosikal sahaja ke tempat kerja. Kereta digunakan untuk surinya menghantar dan mengambil anak sekolah. Dengan itu tiadalah untuk Azmi terkejar-kejar setiap hari untuk menguruskan anak lagi. Jimat minyak kereta dan jimat masa. Cuma sesekali jika hari hujan Azmi akan menggunakan kereta.

Berkat menabung kerana memikirkan kesukaran mereka menguruskan anak akhirnya Azmi berjaya mengumpul sejumlah wang sebagai deposit membeli sebuah kereta terpakai untuk dia gunakan berulang-alik ke tempat kerja.

“Jadilah…hendak beli yang baharu tak mampu untuk bayaran bulanannya.”

“Syukur kerana Allah beri rezeki kepada kita…” kata Azmi usai mengambil kereta terpakai yang baru dibelinya.

Hujung minggu itu Azmi membawa Lina dan dua orang puteri kesayangannya bersiar-siar di tepi Pantai Cempaka dengan menaiki Viva biru yang baru dibeli.

Riuh mendengar telatah Kakak dan Angah bergurau senda di tempat duduk belakang. Viva yang menjadi lambang pengorbanan dan susah payah mereka sekeluarga. Memilikinya dengan ceritera yang menguji tentang nilai kasih sayang.. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×