Rumah kedai leluhur

Rumah kedai leluhur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekembali daripada tugasan sebagai munsyi bahasa dan susastera di luar daerah, Ah Ti dikejutkan oleh sepucuk surat pos laju bersampul putih.

“Surat?”

“Surat daripada PBT, bang!”

“Apa ceritanya?”

“Entah! Barangkali urusan tentang rumah kedai leluhur kita di Jalan Berop…” ujar Nyonya Bo, isteri Ah Ti. Gadis berdialek Engchun, anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang. Barangkali logo PBT yang tertera pada sampul itu sebagai petunjuk.

“Isu rumah kedai leluhur itu lagi?”

Notis sehalaman dua itu mula ditelusuri sepatah demi sepatah, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan tanpa gagal. Notis kebenaran merancang menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Sudah terang lagi bersuluh, notis ini berkait rapat dengan rumah kedai leluhur Ah Ti di Jalan Berop.

Sejak 1963, notis ini merupakan notis kali ketiga. Notis pertama lewat 1970-an sewaktu mendiang ayah masih bekerja di Syarikat Sin Teck Soon. Pihak Berkuasa Tempatan mengambil maklum akan kewujudan rumah kedai warisan itu. Notis kedua pula diterima sekitar 2000-an ketika premis itu disewa oleh peniaga barangan runcit dan plastik dari pekan SR. Masih isu yang sama.

Geran besar tanah perlu dipecahkan kepada lot-lot persendirian. Geran besar kepada geran persendirian mutlak. Perlu dilantik juruukur bertauliah. Perlu dilukis pelan. Seterusnya, permohonan

Kebenaran Merancang (KM) yang lengkap perlu dikemukakan untuk perhatian dan kelulusan PBT.

Tidak mudah sebenarnya untuk merintis usaha membahagikan tanah tersebut kepada lot-lot persendirian. Pertama, kos dan ongkosnya. Kedua, kebenaran bertulis daripada setiap pemilik sah atau waris terdekatnya. Ada waris sudah melewati dua tiga generasi. Ketiga, adanya rumah di tapak tanah milik bersama. Keempat, sikap acuh tak acuh pemilik tanah terhadap syor PBT.

Selok-belok pertukaran status geran perlu dikaji sebelum dirujuk oleh pelbagai pihak berkepentingan agar menepati akta Kanun Tanah Negara. Namun, usaha demi usaha selama dekad-berdekad menemukan jalan buntu tanpa penyelesaian tuntas.

“Rumah kami, rumah kediaman. Rumah cikgu, rumah kedai. Jadi, cikgulah yang perlu berusaha bukan kami!” Demikian kata dua daripada pemilik atau waris terdekat rumah kediaman tanpa mahu berkolaborasi atau berkompromi.

Barangkali, mereka mempunyai alasan tersendiri. Rempah-ratus kehidupan sedikit banyak telah menghakis nilai kesepakatan dan musyawarah penduduk! Rugikah jika geran besar berstatus pertanian itu dipecahkan menjadi geran individu berstatus komersial?

Secara harfiahnya, geran individu lebih bernilai daripada geran besar! Ah, ketaasuban dan kejahilan kerap amat dibelenggu oleh nilai keakuan dan kebendaan tanpa memikirkan kemaslahatan jangka panjang! Dalam keributan, tiba-tiba teringat Ah Ti akan panggilan Tauke Tan beberapa bulan lalu. Tauke Tan orang kuat parti. Mantan ketua kampung. Berpengaruh sebagai peniaga yang berjaya di pekan SR.

“Ya, Tauke Tan!”

“Nak tanya tentang premis cikgu…”

“Silakan…”

“Ada pelannya? Dapat kelulusan berniaga daripada PBT?”

“Kenapa, Tauke Tan?”
“…tentang plot tanah saya di sebelah rumah kedai cikgu!”
“Apa masalahnya?”
“…ditahan pembangunannya, cikgu! Yang peliknya, ada premis dibenarkan beroperasi. Plot kedai saya pula terhalang!” keluh Tauke Tan tanpa berselindung.

“Begini, tauke. Selain pelan, tauke perlu memohon kelulusan kebenaran merancang. Sila rujuk PBT untuk maklumat lanjut!” balas Ah Ti santun menamatkan bual bicara.

“Baik, cikgu. Terima kasih.”

“Terima kasih kembali!”

II

“Ah Ti, rumah kedai leluhur ini perlu kaujaga dan pulihara! Jangan sekali-kali terlintas untuk melepaskannya demi wang ringgit. Wang boleh dicari. Rumah kedai ini, satu-satunya harta pusaka leluhur, payah dicari ganti. Ingat, rumah kedai Sin Chuan Bee, tempat kamu dan adik-beradik dibesarkan menjadi dewasa!” Ah, tiba-tiba wasiat mendiang ibu, Nyonya Tan Tay terngiang-ngiang bergentayangan di laman fikir Ah Ti ketika santai menikmati secawan kopi O bersama cakoi goreng suri rumah di ruang tamu sebuah rumah taman di pinggir banjaran Titiwangsa.

Ya, surat penangguhan notis perlu disegerakan untuk perbincangan lanjut. Sekurang-kurangnya, Ah Ti memerlukan maklumat tambahan berhubung dengan notis PBT kelmarin.

Yang jelasnya, premis rumah kedai itu memiliki pelan sah. Pelan kelulusan Majlis Bandaran pada 1963. Cukai tanah dan cukai pintu tidak pernah tertunggak sebaliknya dibayar menepati masanya sejak 1963! Jadi, apakah masalahnya? Bisakah premis itu dihentikan operasinya? Adakah fail setiap bangunan lama@warisan perlu dibuka dan disemak kembali? Benar, duduk premis itu di atas tanah pertanian. Geran besar. Jadi, notis yang diterima perlu ditangani segera. Janji temu diaturkan.

“Selamat pagi, Tuan Zairul!”

“Selamat pagi, cikgu!”

Mereka bersalaman sebelum mengambil tempat duduk masing-masing di ruang tamu. Encik Aziz, pegawai Bahagian Perancang turut membantu agar mereka tidak tercengang-cengang umpama rusa masuk kampung. Barangkali sahabat Ah Ti, Tuan Yeo sudah biasa dengan kakitangan PBT. Maklumlah, beliau mantan Ahli Majlis dan sukarelawan di Daerah M. Ah Ti pula pesara

GC. Guru pencen. Ruang pejabat tersusun kemas, termasuk fail dan buku-buku rujukan. Kelihatan beberapa gulung pelan terkumpul rapi di dalam kotak khas. Kerusi dan meja sofa kemas menyerikan suasana dan feng syui bilik Tuan Zairul.

“Ya, cikgu. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya Tuan Zairul penuh sopan.

“Begini, tuan. Kedatangan saya adalah untuk membincangkan notis PBT, pelan dan rumah kedai leluhur saya,” ujar Ah Ti sungguh-sungguh.

“Ada bawa pelan asal, cikgu?”
“Ada!”

Pelan 1963 itu dibentangkan oleh Ah Ti di atas meja sofa. Biarpun usang, bertampal-tampal dengan loytape namun setiap garis, lakaran dan ukuran premis masih kelihatan. Tuan Zairul begitu tekun memerhati setiap sudut pelan. Matanya asyik mencari sesuatu. Barangkali, catatan yang mampu meyakinkan beliau bahawa pelan itu sahih dan telah diluluskan oleh Majlis Bandaran.

Akhirnya dipertemukan juga frasa “Rumah Kedai” bersertakan cap bertandatangan dan nombor fail rujukan di bucu kanan pelan itu sebagai bukti pengesahan kelulusan pembinaan rumah kedai leluhur Ah Ti di Jalan Berop.

“Pelan rumah kedai cikgu tiada masalah. Jelas tertera kelulusannya untuk pembinaan rumah kedai. Jadi, begini cikgu…” ujar Tuan Zairul sungguh-sungguh. Wajah beliau memperlihatkan kejernihan. Bebaskah rumah kedai leluhur Ah Ti daripada belenggu masalah yang bertele-tele sekian lama?
“Ya, Tuan Zairul?”

“Abaikan notis yang dikeluarkan. Pihak PBT akan mengeluarkan surat Kebenaran Merancang siap ditandatangani oleh Tuan YDP. Sesalinan pelan rumah kedai cikgu yang telah disahkan akan kami simpan dalam fail rujukan. Sesalinan lagi akan dihantar ke alamat cikgu dalam tempoh yang terdekat,” terang Tuan Zairul sungguh-sungguh.

“Terima kasih, Tuan Zairul! Terima kasih, PBT!” Ucap Ah Ti penuh syukur.

“Terima kasih kembali, cikgu!”

“Wah, akhirnya masalah rumah kedai leluhurku selesai! Selesaikah? Terima kasih, Tuan Yeo, sahabat yang tidak lokek menghulurkan bantuan dan khidmat nasihat!” bisik hati kecil Ah Ti.
Pertama kali, ketika isu rumah kedai leluhur berbangkit, sempat Ah Ti merujuki Pegawai Khas YB. Hari demi hari, minggu silih berganti dan akhirnya muncul tahun baharu. Harapan tinggal harapan. Masalah tinggal masalah. Fail rumah kedai leluhur Ah Ti terpaksa ditutup seketika.

Sedekad kemudian, isu sama muncul semula. Ah Ti didatangi surat atau notis berdaftar PBT. Jiran Ah Ti sering menghubungkaitkan kes mereka dengan kes premis itu. Ingatkan kes tersebut dapat diselesaikan namun impian tinggal impian. Ahli Majlis dan Persatuan Saudagar sekadar mampu berbicara dan bermusyawarah. Simpati dan empati tidak banyak membantu biarpun pernah diadakan sesi randau antara peniaga@pemilik premis dengan PBT.

III

Tauke Tan menelefon Ah Ti lagi. Katanya, beliau didatangi pegawai penguat kuasa PBT. Pembinaan kedai dua tingkatnya perlu dihentikan sementara. Notis hitam putih telah dikeluarkan PBT.

“Rumah kedai cikgu, bagaimana?” Soal Tauke Tan lagi.

“Beres buat sementara!”

“Jadi, premis saya bermasalah?” Usik beliau lagi memperlihatkan rasa tidak puas hati dan kecewa.

“Permohonan KM dan permit bangunan sementara penting, tauke! Apa-apapun, sila rujuk PBT untuk maklumat tambahan. Selamat malam, tauke!” Pintas Ah Ti sambil menamatkan bicara.

Sejujurnya, Ah Ti berterima kasih kepada mendiang ayah yang begitu cermat menyimpan geran rumah kedai sejak 1963 biarpun pekan TM pernah dilanda banjir besar pada 1971. Beberapa hari kemudiannya, Ah Ti didatangi Nyonya Lim pula. Nyonya Lim, pengusaha premis makanan Tionghoa di Jalan Berop. Rupa-rupanya, premis beliau turut dikenakan notis.

“Bahasa Melayu cikgu fasih. Lancar. Kefasihan dan kelancaran bicara cikgu dapat membantu menyelesaikan masalah cikgu!” ujar Nyonya Lim.

“Betul, Nyonya Lim. Selain bahasa, dokumen sah premis perlu kita miliki. Antara lain, pelan asal yang telah diluluskan oleh PBT, tiada tunggakan cukai pintu dan cukai tanah, adanya permohonan dan kelulusan KM, permit bangunan sementara dan…” jelas Ah Ti satu-persatu dalam bahasa Engchun@Hokkien agar mudah difahami Nyonya Lim.

“KM? Pelan? Permit? Saya tidak pasti, cikgu. Maklumlah, premis itu saya warisi daripada mendiang suami. Sudah banyak kali, saya rujuk surat berdaftar PBT kepada Setiausaha Politik YB, namun tiada sebarang maklum balas,” ujar Nyonya Lim hampa dalam kebingungan.

“Jangan bimbang, Nyonya Lim. Mohon bantuan Ahli Majlis PBT, Zon Pekan TM. Barangkali, Ahli Majlis dapat menghulurkan khidmat nasihat,” usul Ah Ti penuh keyakinan.

Yang jelasnya, kes Nyonya Lim seperti kes Tauke Tan (Kedai Perabot), Tuan Haji Ali (Kedai Aksesori dan Bateri), Tauke Kwan (Kedai Kereta Terpakai), Mak Cik Siti (Restoran) dan Encik Mutu (Kedai Runcit). Mereka perlu memohon kelulusan KM, permit bangunan sementara dan lesen sementara khas sebelum dibolehkan untuk berurus niaga.

Demikian lumrahnya hukum alam sarwajagat ini. Siang dan malam silih berganti. Penyewa rumah kedai leluhur Ah Ti turut bertukar ganti. Dulu kedai barangan runcit dan plastik. Kini, premis itu disewa pengusaha kedai perhiasan siling kapur. Tidak semena-mena, WhatsApp Ah Ti telah menerima mesej daripada penyewa baharunya, Nyonya Chan.

“Ada notis daripada PBT, cikgu!”

Ah, barangkali isu lama berbangkit kembali! Nampaknya panas tidak sampai ke petang. Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), peniaga atau pemilik@pewaris premis rumah kedai perlu memohon Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) dan Permit Bangunan Sementara sebelum Lesen Sementara Khas (LSK) diluluskan PBT.

Maka, turun naiklah Ah Ti dan sahabat ke pejabat Bahagian Perancang, Bahagian Kejuruteraan dan Kawalan Bangunan serta Bahagian Pelesenan demi masa depan rumah kedai leluhurnya itu.

Sesungguhnya, debar masalah rumah kedai leluhur mengingatkan Ah Ti tentang dunia kehidupan yang memerlukan ilmu, pengalaman, keberanian, kecekalan dan kesabaran. Sahabat dan seteru sering mengingatkan Ah Ti agar tidak mudah alpa atau lupa ketika melayari bahtera di lautan kehidupan. Yang pastinya, ketakwaan, tidak putus asa dan keiltizaman membolehkan setiap insan menelusuri buana kehidupan dengan jayanya.

Yang pentingnya, jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Syukur, rumah kedai leluhur Ah Ti masih boleh beroperasi di Jalan Berop biarpun bangunannya kian dimakan usia! Kurang lebih enam dasawarsa usianya. Terima kasih, Tuhan! Sepoi-sepoi bahasa pawana dingin dinihari menyapa Ah Ti sementelahan menunggu tabah terbitnya mentari di ufuk harapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN