Jauh mana pun akan aku datangi. Tubuh letih pun akan kugagahi. Trafik semacet Jakarta pun mesti kuredahi. Desa sesunyi malampun akan kutiduri. Selagi kudrat ini masih berbaki dan jasad ini masih berisi, akan kunjungi.
Tangan pipihnya tetap akan aku salami dan ramas-ramas mesra. Biar temulang kasar sudah tidak lagi dapat disembunyi. Aku pasti akan mengelus-ngelus jemari mulusnya satu-satu. Hingga ada kalanya jemarinya hilang dalam gemuk jemariku.
Aku akan suapkan mulut mungelnya dengan ketupat lembut berlaukkan lodeh atau kuah kacang. Dia amat suka akan menu itu sejak dahulu. Ketika dia masih larat, dia menanak sendiri. Walaupun hari raya haji, hidangan itu mesti ada dalam senarai makan bersama.
Sebenarnya adik-beradiku yang lain tinggal tidak jauh dengan kampung. Kapan sahaja mereka boleh balik jenguk orang tua. Tapi aku yang jauh ini, sesekali balik kampung memang sesuatu yang dinantikan. Rasa melekat kenangan setiap kali menyantuni mereka.
Sementelahan pascabersara, aku dapat kerap balik dan awal dari sebelumnya. Selalunya malam raya atau pagi raya baharu kami balik walaupun pernah juga balik awal. Jadi, kali ini dapatlah aku mengikuti agenda yang dilakukan pasca solat.
Awal subuh dia telah bangun. Aku dan abang-abang akan bersiap senjata apa yang patut. Iyalah, setahun sekali radas itu mahu digunakan. Dalam keadaan biasa jarang digunakan, cukup dengan pisau potong bawang dan daging biasa sahaja untuk kegunaan harian.
Ini peralatan khas untuk melapah dan mencincang daging. Memotong tulang dan memotong tulang haiwan sebenar ini bukan boleh guna parang biasa-biasa. Kapak dan tukul kadang digunakan.
Selalu, dia akan layan aku yang sesekali pulang itu macam raja. Kalau adik-beradikku yang balik tidaklah seperti itu layanannya kerana mereka memang sudah biasa di rumah itu. Tahu serba-serbi di mana disimpan makanan istimewa dan yang lain-lain. Reti saja mereka selongkar sendiri.
Tapi aku akan disuruh duduk diam-diam. Dia yang akan hidangkan atas meja. Kadang kami duduk atas lantai ramai-ramai hampar tikar mengkuang kalau kebetulan semua datang serentak. Rasa mesra dan silaturrahim antara kami kian rapat apabila sering bertingkah senduk dan berebut ambil lauk kegemaran.
Dia akan buat lagi beberapa jenis lauk yang sukar ditemui sekarang. Serunding kelapa antara yang selalu aku tunggu. Kalau serunding daging atau ayam itu memang banyak di pasaran, tetapi yang ini agak langka.
Fungsinya sebagai penambah selera dan aksesori hidangan. Memang kecurlah lidah apabila mengingatkan rasanya.
Namun persiapan untuk Hari Raya Haji ini tidaklah semenggah seperti raya puasa. Semua jenis lauk dan menu ada. Pagi-pagi tiada sarapan istimewa yang dia hidangkan. Lagipun memang disunatkan kami tidak makan pagi dahulu. Berbeza dengan 1 Syawal, hendak ke masjid kena jamah dahulu hidangan.
Siap ala kadar peralatan itu, kami empat beradik akan bersiap pula untuk ke masjid menunaikan solat sunat. Beberapa orang anak lelaki kami yang telah mumayiz turut serta bersiap.
Sudah sedia semua, kami pun berkonvoi, kadang-kadang sampai tiga kereta kerana ada juga kerabat wanita yang turut serta menunaikan solat setahun sekali itu.
Biasanya begitulah yang aku lakukan saban kali balik kampung untuk menyambut perayaan kedua penting dalam takwim hijrah.
ii
Tahun ini aku akan balik lagi jumpa dia. Seperti selalu kak long dan abang ngah juga khabarnya akan beraya di rumah pusaka arwah bapa tahun ini. Aku harap akan sampai lebih awal daripada mereka walaupun aku yang paling jauh.
Sepanjang perjalanan, aku bayangkan wajahnya yang pasti menungguku seperti selalunya di ambang pintu. Lembayung di wajahnya makin suram kurasakan. Maklumlah, senjanya telah larut. Memang kami sudah bersedia untuk hari-hari akhirnya.
Laluan trafik tidaklah begitu sesak seperti di tempat-tempat lain. Kampungku ini tidaklah maju sangat, jadi tak ramai yang keluar makan gaji di bandar. Keluargaku sendiri hanya aku yang tinggal jauh.
Benar tebakanku. Kami sampai paling awal. Dia sudah menungguku di ambang pintu. Senyuman masih juga berputik di bilah bibir gersang. Aku bersegera menyalaminya dan ambil kesempatan dulu bermanja dengannya.
Aku kucup dahinya yang menyimpan seribu beban cerita. Aku ciumi pipinya yang juga berkedut seribu citra. Tapi dia pegun kali ini. Tiada jawapan apabila kutanya khabarnya. Senyumannya pun kelihatan kelat.
Aku lihat dua buah kereta mendarat di laman rumah yang jembar. Kak long dan abang ngah dah sampai. Tinggal uda belum tiba. Tentu ruang masaku dengannya akan terbatas, aku mendengus. Aku dakap tubuh runcingnya seakan tidak mahu melepaskan kepada mereka.
Tiba-tiba dakapanku terlerai. Perlahan-lahan tubuhnya mengecil dan sirna. Aku menggantinya duduk di bendul pintu rumahku.
Abang ngah dan kak long pula kian menghampiriku. Sekonyong-konyong pula tubuh bang ngah bertukar menjadi menantuku. Aku pula yang disalami dan didakap.
Aku tercari-cari sosok tubuhnya tadi. Muncul pula kak long yang berubah menjadi anak perempuan keduaku.
Dia pun buat acara yang sama – memeluk, mengucup dahi dan menyalamiku. Aku mencari-cari lagi di mana dia. Di mana juga kak long dan abang ngah?
Semakin aku tercari-cari mereka, makin ramai pula budak-budak kecil mendatangiku, menyalami dan mencium pipiku. Aku masih perasan tadinya aku cium pipinya yang kedut, mengapa kini pipiku pula yang jadi mangsa ciuman.
Aku terpinga-pinga. Kepulanganku dari jauh hendak menemuinya seperti selalu, Seperti tahun-tahun lalu. Tetapi mengapa sekejap sangat aku bertemu. Kemudian dia menghilang dan diganti dengan anak-anak, menantu dan cucu-cucuku.
“Mana nenek?” tanyaku kepada anak-anak dan menantuku. Aku mula sedar bahawa aku telah tertipu. Aku toleh ke semua arah. Wajah-wajah yang ramai pula membalas pandanganku dengan kepelikan.
Anak-anakku saling berpandangan dan berbisik-bisik entah apa. Beberapa orang cucuku yang lain terus meratah juadah yang ibu mereka bawa sendiri. Giliran mataku pula merayapi torso kecil yang berkeliaran itu.
“Abah, ini kami datang rumah abah. Kan esok kita hendak sama-sama berkorban.” Anak sulungku seakan memberi penjelasan.
Aku tidak endah. Mata terus juga mencari-cari tubuh pipih yang kali terakhir kulihat terlantar di atas katil khas.
Sudah jadi rutin aku balik beraya dua kali setahun, meramahi dan menyantuninya Bermula dengan layanannya yang terbaik terhadapku yang jauh di mata, hinggalah aku pula yang mengurusinya.
Tahun lepas, rasanya aku paling acap pulang menziarahinya lewat sakitnya yang makin tenat.
“Mak, mari Ron suapkan bubur.” Terpinga-pinga cucu sulongku melarikan diri.
Tak pernah-pernah Akinya menyuapkan makanan ke mulutnya. Syifa, yang kian membesar mendekati ibunya dan membisik sesuatu. Ibunya pula berpaling ke arah suaminya. Mereka berbicara entah apa.
iii
Di lapangan polos, aku lihat kak long, abang ngah dan uda beria-ia meladeni lembu korban dan mencincang daging. Piaraan yang bertuah tahun ini telah ditumbangkan oleh Imam Jali seusai solat raya tadi. Sepuluh lelaki sado juga diperlukan untuk menjinakkan si Balong.
Memang kami telah menempah Imam Jali untuk hari pertama saban tahun. Boleh saja kalau hendak melakukan ibadah ini pada hari-hari Tasyriq jika tidak mahu berebut tukang sembelih dan jurulapah. Tetapi itulah cuti kami adik-beradik pun tidak panjang, terpaksa juga buat hari raya pertama.
Beberapa teruna kampung merangkap jiran kami diundang untuk mengalahi tenaga super Balong.
Selepas berpencak lebih setengah jam, akhirnya dapat juga Imam Jali mendaratkan belati tajamnya ke pembuluh Balong. Darah memancut dan melatari lahan.
Gema takbir bersahutan mengiringi pemergian Balong ke negeri abadi syurgawi. Usai akhir nafaznya, beberapa pemuda sado tadi menggantung Balong untuk kerja-kerja melapah dimulai. Pantas juru lapah menyelesaikan tugasan. Kerja ini memang memerlukan kepakaran khas.
Anak-anak kami yang telah agak dewasa pula membantu apa yang patut. Ada yang belajar melapah, memotong tukang dan menanam lebihan yang tidak diperlukan.
Ada juga yang menimbang dengan neraca daging yang telah siap diolah. Ada beberapa bahagian kami asingkan; organ dalaman, daging batang pinang, tulang-temulang dan kulit.
Sekonyong-konyong aku lihat dia datang bergabung sama. Dia yang telah renta itu ingin sama meratah dan mencincang daging. Cuba mengganti kerja kak long mengetuk tulang selangka. Sekejap berhenti dan duduk mencangkung, keletihan barangkali.
Tiba-tiba aku melihat gumpalan daging itu bersatu kembali. Perlahan-lahan menjadi seekor lembu semula.
Lembu itu mula menendang-nendang orang yang tadinya mengerjakannya. Dan mula menghampiri dia.
Aku jadi panik. Mulanya duduk sahaja menung di bendul pintu, segera melompat tangga. Aku lari ke arahnya yang makin ketakutan.
Kulihat mata Balong tajam menikam pandangan dia. Seakan mahu menelan tubuh pipih renta itu.
“Makk!” Aku segera menyimbah muka Balong dengan sebaldi air yang ada dekat denganku. Itu saja yang ada pun ketika itu. Aku lihat Balong meloncat kaget.
“Eh, apa ini abah?” Anak sulongku terkejut besar apabila air menyinggahi tubuhnya. Jeritan kuatnya mengalahi keriuhan budak-budak yang sedang seronok membantu sambil berceloteh. Aku terpinga-pinga.
“Lembu hidup, mak! Lari!” Ujarku lagi kuat. Semua terhenti beraksi. Ketika aku hendak menyimbah buat kedua kalinya, aku rasa tanganku berat.
“Mana ada nenek, abah? Nenek kan sudah tak ada…!” Suara anak keduaku menyanggah sambil menahan lenganku. Aku terpelongo. Baldi tadi beralih ke tangannya.
“Abah, nenek kan dah tak ada, tahun ini kita tak beraya dengan nenek.” Anak bongsuku pula menokok. Nadanya lebih hiba. Aku paling mencari kak long, ngah dan uda yang sama-sama mengolah daging lembu tadi.
Perlahan-lahan mereka bertukar menjadi wajah anak-anakku. Mereka sedang melayan anak-anak mereka menyiang daging di laman rumahku sendiri. Aku tidak lagi melihat emak terkinja-kinja mahu membantu mereka melapah.
Tiada lagi kak long dan abang ngah, atau uda yang membantu kami, sebaliknya aku, anak-anaku dan cucu-cucu yang menyempurnakan ibadah tersebut.
Adapun lelaki sado kampung dan jurulapah pakar telah meninggalkan lapangan. Kami beri upah asing untuk kerja-kerja mereka di samping pemberian daging korban.Yang lain nanti akan kami agih-agihkan kepada asnaf yang memerlukan sekitar kariah.
Aku ditenangkan, Aku tengok keliling. Aku berada di premis rumahku sendiri. Aku tidak balik ke mana-mana. Pergi ke mana-mana pun tidak. Aku tidak lagi menemui mak. Tapi anak-anak dan cucu-cucuku yang mengunjungi aku pula. Aku berjeda, menarik nafas dan menghelanya semula.
“Abah, walaupun nenek sudah tiada, pesan dan amanahnya kita tunaikan. Semoga niat dan sedekah korban kita sampai pahalanya kepada nenek.” Anak bongsuku membujuk. Macamlah aku ini anak-anak kecil, gumamku tanpa reaksi wajah.
Aku dibawa ke anjung. Aku diminta beristighfar dan bertakbir oleh anak bongsuku. Suaraku lirih dan melankolik. Aku mula bertakbir dan menguat. Bertakbir lagi dan lagi, disambut oleh anak-anak dan cucu-cucuku.
Aku mula keluar daripada logamaya. Air mataku menitik mengingatkan emak.
Emak telah banyak berkorban untuk kami adik beradik. Kini dan selamanya, biarlah kami membayar harga pengorbanan emak sampai kami pula dijemput-Nya.
Ketiga-tiga anak perempuanku mendatangi. Mengelus-ngelus bahuku penuh mesra dan sama-sama bercanda airmata.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahi ilhamd…-UTUSAN










