Hikayat Fandom angkat cerita rakyat, warisan sempena Tahun Melawat Malaysia

Hikayat Fandom angkat cerita rakyat, warisan sempena Tahun Melawat Malaysia

Ninot Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hikayat Fandom meraikan Tahun Melawat  Malaysia 2026 (TMM2026) dengan misi mengembalikan folklor dan cerita rakyat sebagai warisan yang diceritakan, dipersembahkan dan dikagumi oleh masyarakat. 

Sebagai sebahagian daripada sambutan ini, Hikayat Fandom akan beraksi di KL Alternative Bookfair KLAB 2026 yang membuka tirai dari 30 Januari hingga 3 Februari 2026 di Pasar Seni Kuala Lumpur. 

 Orang ramai dijemput hadir pada Sabtu, 31 Januari 2026, bagi menyaksikan persembahan penceritaan oleh Tukang Cerita Cikgu Zuhairah Ali yang membawakan kisah Awang Geliga Embun daripada tradisi Awang Batil, Perlis, sebuah seni lisan yang kaya dengan irama, jenaka dan akal budi rakyat. 

Sebelum itu, pada 10 Januari 2026, pengasas dan penulis Hikayat Fandom, Ninot Aziz telah menyampaikan bicara bertajuk Folklore Lives! di Badan Warisan Malaysia.

Program tersebut turut menampilkan persembahan Makyung Mengadap Rebab oleh Hani Mohd dari Akar Seni Malaysia, serta tayangan Gema Hikayat, sebuah muzik video yang menghimpunkan empat lagu rakyat tradisi dalam susunan baharu, melalui sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. 

Pada hari yang sama, Hikayat Fandom menyertai KELAH BUKU 2026 di Putrajaya, menghimpunkan buku, pembaca dan penggiat budaya, mengukuhkan peranan sastera sebagai jambatan penting yang merentas generasi. 

“Folklor lebih besar daripada sekadar cerita.

““Ia hidup dalam gerak, nyanyian, nuansa, kepemimpinan pemikiran dan ekspresi kreatif. Justeru, Hikayat Fandom sentiasa mempersembahkan cerita bersama seni, budaya dan persembahan hidup demi pengalaman yang lebih imersif,” kata Ninot. 

 Pada sebelah malam, Ninot bersama Rudy Daud menghadiri pementasan Mek Mulung AFROT di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.

Pementasan imersif oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan UPSI ini mengangkat ritual, sejarah dan korpus memori komuniti—diperkaya dengan rekaan pentas, elemen digital dan pencahayaan kontemporari serta mutu persembahan yang gemilang. 

“Mek Mulung diiktiraf UNESCO sebagai seni yang memerlukan pemuliharaan segera.

“Folklor terus mekar bukan kerana disimpan di balik buku berkulit tebal, tetapi kerana ia dilestarikan. JKKN telah bekerja keras menghidupkan kembali Mek Mulung selama 10 tahun dengan kejayaan yang membanggakan,” katanya. 

 Kata Ninot, melalui Hikayat Fandom, Storyteller Guild dan kolaborasi bersama PERSALINA, mereka mengembalikan cerita ke pusat kehidupan awam, melalui buku, persembahan, penceritaan, pameran dan platform digital, serta bekerjasama dengan penulis dan pakar dari lebih sepuluh negara. 

 Sastera ialah salah satu tonggak tamadun. Folklor memelihara nilai, kebijaksanaan dan kepemimpinan pemikiran kita. Kejeniusan tempatan ialah inspirasi global, dan folklor wajar menjadi sebahagian daripada dasar pendidikan serta perpaduan negara. 

 Menurut Ninot, setiap daripada kita membawa secebis sentuhan warisan—pantun, lagu dodoi atau legenda yang terikat pada sungai dan kampung.

“Apabila kita berhenti bercerita, orang lain akan menceritakannya bagi pihak kita atau ia akan hilang ditelan zaman,” katanya 

 Seni Budaya sebagai Intipati Utama TMM2026 

 Ketika Malaysia menjemput dunia meraikan Visit Malaysia Year 2026, Hikayat Fandom terus mengangkat seni budaya dan folklor sebagai intipati budaya yang hidup, mengajak pengunjung mengenali Malaysia bukan sahaja melalui landskap dan mercu tanda, tetapi melalui cerita, muzik, persembahan dan ingatan bersama. 

 Antara buku-buku baru Hikayat Fandom yang terbaik dan unik bersempena TMM2026  adalah The Meowgical Tails of Malaysia, oleh Prof Bee, buku puisi bertemakan  jelajah kucing kesayangan penulis ke serata Malaysia.

Melalui penceritaan, buku dan persembahan, Hikayat Fandom mengangkat kejeniusan tempatan Malaysia sebagai inspirasi global, memastikan kisah-kisah negara terus hidup, dikongsi dan diraikan sebagai sebahagian daripada naratif pelancongan budaya serta kepemimpinan pemikiran kebudayaan. 

Hikayat Fandom akan berada di KL Alternative Bookfair 2026, Central Market Kuala Lumpur, dari 30 Januari hingga 3 Februari 2026, di Reruai 28—menghimpunkan sastera, warisan dan kreativiti kontemporari di salah satu hab budaya paling bersejarah di kota ini.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN