Bagaimana ‘membina’ penulis? - Utusan Malaysia

Bagaimana ‘membina’ penulis?

Program Pembinaan Penulis Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini tidak seharusnya berhenti setakat itu. – MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMPAT tahun lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menganjurkan Program Pembinaan Penulis Malaysia. Namun begitu, saya mendapati tiada jawapan tuntas mengenai persoalan penulis bagaimana yang perlu dibina itu.
Walaupun tidak semua orang bercita-cita menjadi penulis, tetapi ramai yang telah berjaya menjadi penulis. Berjaya mencapai cita-cita menjadi penulis juga adalah kejayaan yang boleh dibanggakan.
Meskipun menjadi penulis yang berjaya adalah lebih baik, tetapi bukan mudah untuk mencapainya. Tidak semua mampu menjadi penulis yang berjaya, apatah lagi yang benar-benar berjaya.
Menyebut penulis, tanggapan umum dan sukar diubah adalah penulis itu ialah mereka yang hanya menulis karya-karya sastera seperti sajak (penyair), cerpen (cerpenis), novel (novelis), dan teater/drama pentas (dramatis) sahaja.
Tanggapan tersebut tidak benar. Mereka yang menulis dalam bidang lain seperti budaya, ekonomi, sosial, politik, agama, dan kesihatan juga adalah penulis.
Penulis tidak semestinya hanya penyair, cerpenis, novelis, atau dramatis. Barangkali mereka hanya menulis sajak atau mungkin semua. Namun demikian, penyair, cerpenis, novelis, dan/atau dramatis itu sudah pastilah penulis. Ini perlu difahami kerana ada yang salah tanggap.
Sama ada penyair, cerpenis, novelis, ataupun dramatis, prestasi atau tarafnya yang tinggi memang amat diharapkan. Bagaimanapun, kedudukan yang diharapkan itu mustahil wujud jika tidak dibina dengan baik, betul dan bijak peringkat demi peringkat.
Justeru, memang bagus dan wajar Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP menganjurkan Program Pembinaan Penulis Malaysia yang berlangsung di Ruang Legar Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP itu, dulu.
Program tersebut yang bertemakan ‘Mencipta Karya Sastera Idaman Antarabangsa’, menampilkan Sasterawan Negara (SN) keenam, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh yang membicarakan judul Ada Apa dengan Sastera sebagai ahli panel.
Seingat saya, Program Pembinaan Penulis Malaysia itu mendapat sambutan hangat. Ia berjaya menghimpunkan ramai peserta dalam kalangan penulis yang karya mereka diterbitkan oleh penerbit indie atau penerbit selain DBP.
Penganjurannya bertujuan berkongsi maklumat dengan peserta untuk mempertajam persepsi, imaginasi dan kepekaan mereka dalam bidang penulisan, serta sastera.
Ia juga mahu membuka ruang, dan peluang kepada peserta untuk berkongsi perkembangan tentang peluang penerbitan masa kini, bagi memenuhi cita rasa pembaca pada peringkat antarabangsa.
Ketua Pengarah DBP yang ketika itu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya mengha­rapkan program itu dapat memberikan pendedahan, penge­tahuan, serta kemahiran kepada peserta dari aspek falsafah sastera.
Apa yang lebih penting, katanya, program berkenaan dapat membina dan memantapkan kemahiran penulisan, dan penciptaan karya kreatif yang bermutu kepada bakat-bakat baharu yang berminat dengan dunia penulisan.
Selain menambah baik penghayatan terhadap falsafah sastera, dan kemahiran berkarya, matlamat mempertajam persepsi, imaginasi dan kepekaan penulis yang menjadi peserta program tersebut dalam bidang penulisan, serta sastera adalah penting, dan wajar ditekankan.
Apabila menyebut mempertajam, pastilah ia langkah atau usaha menambah baik, bukan menambah buruk atau menyusut nilai.
Sebagaimana mutu, semua penulis ada persepsi, imaginasi dan kepekaan masing-masing. Cuma yang amat perlu dan penting adalah tahapnya yang tinggi. Jangan rendah. Namun demikian, bagaimana menjadikannya tinggi?
Saya fikir ia ada kaitan, serta boleh diaplikasi dan diasosiasikan dengan objektif kedua, iaitu ruang, dan peluang peserta berkongsi perkembangan tentang peluang penerbitan masa kini, bagi memenuhi cita rasa pembaca pada peringkat antarabangsa.
Tidak dinafikan dan saya mengakui, bukan mudah menjadikannya kenyataan. Bagaimanapun, selari dengan peribahasa yang berbunyi, belakang parang diasah lagikan tajam, ia usaha yang wajar berterusan, bukan hanya sekali atau sesekali.
Bukan hanya sekali ertinya kerap, selalu atau banyak kali. Oleh itu, kalau matlamatnya mahu dan mesti dikekalkan, Program Pembinaan Penulis Malaysia perlu diadakan lebih daripada sekali. Ia mesti diteruskan.
Mungkin ada yang mengatakan telah ada Hari Sastera, Hari Puisi Nasional, Minggu Penulis Remaja, serta seminar, persidangan, kolokium, wacana, dan forum dari semasa ke semasa sejak berpuluh tahun lalu.
Tidak disangkal kesemua program tersebut turut membincangkan hal berkaitan pembinaan penulis Malaysia. Namun begitu, ia hanya sesekali dan tidak intensif atau khusus. Jika ada forum yang membincangkannya, ia juga tidak berterusan di sepanjang masa. Itu tentulah tidak memadai.
Ia berbeza dengan Program Pembinaan Penulis Malaysia yang lebih khusus, dan kerap sewajarnya. Nama pun ‘pembinaan’ yang maksudnya tentu bukan perkara biasa atau sekadar ‘main-main’.
Oleh kerana skop dan erti penulis itu luas seperti yang disebutkan tadi, kalangan pesertanya juga jangan dibataskan pada penyair, cerpenis, novelis, dan dramatis sahaja. Sifat terbuka akan membuat program lebih matang bermakna.
Penganjuran Program Pembinaan Penulis Malaysia adalah idea yang baik. Namun demikian, mengapa ia tidak diteruskan? Kalau hanya sekali sahaja diadakan, bolehkah matlamatnya dicapai? Hari Sastera, Hari Puisi Nasional dan lain-lain juga ada objektif masing-masing. Penganjuran kesemuanya juga tidak hanya sekali, tetapi berkali-kali sejak lima dekad lalu!
Tidak berat atau menjadi masalah besar kalau Program Pembinaan Penulis Malaysia dianjurkan saban tahun. Tidak salah, malah wajar jika ia diadakan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun – pada awal dan akhir tahun.
Bagaimana penulis Malaysia yang diperlukan dan sewajarnya? Bagi saya, penulis Malaysia atau yang negara kita perlukan seharusnya tidak hanya berbakat besar dan penuh kreatif, tetapi juga berani menegur segala keburukan dalam masyarakat, serta memberikan jalan penyelesaian, serta bertanggungjawab.
Mereka juga harus berakhlak murni, taat beragama, bukan ‘cakap tidak serupa bikin’, serta menjaga nama baik diri sendiri, keluarga, negara, dan agama. Tidak berguna jika hanya berbakat dan berkarya besar, tetapi keperibadian beronar!

Raja Yusoff Ariffin ialah seorang penulis .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya