'Hanya Ahmad Zahid boleh suruh saya letak jawatan, bukan AMK'

‘Hanya Ahmad Zahid boleh suruh saya letak jawatan, bukan AMK’

ASYRAF Wajdi Dusuki ketika sidang akhbar mengenai Perhimpuann Agung UMNO 2026 di Auditorium UMNO, WTC Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bersedia meletakkan jawatan sekiranya diminta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan dikaitkan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi Mara adalah atas keputusan Ahmad Zahid selaku Menteri KKDW yang bertanggungjawab terhadap agensi berkenaan.

“Saya dilantik oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri yang Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Saya hanya menurut sahaja. Kalau misalnya Menteri KKDW minta untuk saya berhenti, saya berhenti.

“Tapi bukan atas desakan AMK (Angkatan Muda Keadilan), Parti Keadilan kerana pertama sekali saya ini menjaga amanah parti. Amanah parti untuk menjaga Mara yang lahir daripada rahim UMNO itu sendiri. Ini adalah institusi orang Melayu dan Bumiputera,” katanya pada sidang media khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini semalam.

Menurutnya, kedudukan beliau sebagai Pengerusi Mara bukan soal peribadi, sebaliknya berkaitan tanggungjawab mempertahankan institusi yang diwujudkan untuk kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

“Ini bukan soal Dr. Asyraf Wajdi, ini soal institusi Mara. Ia merupakan institusi amanah orang Melayu yang dipertanggungjawabkan oleh kepemimpinan UMNO yang melahirkan MARA itu sendiri pada 1966 di Perhimpunan Agung UMNO.

“Jadi saya kira yang hanya selayaknya menentukan sama ada saya patut berhenti atau tidak adalah Datuk Seri Timbalan Perdana Menteri yang merupakan Menteri KKDW yang menjaga agensi, yang bertanggungjawab di bawah KKDW iaitu Mara,” katanya.

Mengulas isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, beliau berkata perkara itu tidak mempunyai kaitan dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Mara.

“Soal RCI Tabung Haji pun tak ada relevannya kerana tak ada pun sebut nama saya dalam RCI Tabung Haji.

“Saya pun tidak pernah dikaitkan dengan isu Tabung Haji dan sebagainya, hanya kerana permainan persepsi puak-puak yang mahu merobek reputasi dan imej institusi ini,” katanya.

Sementara itu, Asyraf berkata, hala tuju kerjasama politik UMNO dalam ke Kerajaan Perpaduan dan agenda Rumah Bangsa menjadi antara isu utama yang dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu hadapan.

Beliau berkata, kedua-dua perkara itu antara usul paling banyak diterima daripada bahagian selepas dibincangkan di peringkat akar umbi.

“Dua usul paling popular yang diterima daripada bahagian-bahagian kali ini ialah soal hala tuju dan kerjasama politik UMNO khususnya dalam kerangka Kerajaan Perpaduan serta agenda Rumah Bangsa yang digagaskan pada perhimpunan lalu.

“Kita tidak pernah dan tidak akan menghalang pembahas menyuarakan perkara itu sebab mereka mewakili akar umbi dan mereka dipilih perhubungan negeri masing-masing.

“Cawangan mengangkat usul-usul ke bahagian dan proses terbabit berlangsung enam bulan lalu. Apa yang dibangkitkan bukan isu individu, tetapi suara akar umbi daripada cawangan, bahagian dan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×