KANGAR: Sistem atau pengurusan pencemaran di Malaysia perlu lebih ke depan iaitu peralihan daripada pemantauan kualiti udara kepada ramalan, sekali gus memastikan masyarakat lebih bersedia berdepan risiko pencemaran.
Negara-negara dari Eropah selain Amerika Syarikat (AS) termasuk Singapura telah jauh ke depan dalam soal ramalan pencemaran itu.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, negara seperti AS antaranya melalui sistem Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) negara itu dan AirNow yang menggabungkan ramalan kualiti udara dengan pemantauan asap kebakaran untuk memberikan maklumat risiko kepada masyarakat.
Katanya, di Eropah pula, menggunakan Copernicus Atmosphere Monitoring Service (CAMS) bagi menghasilkan ramalan beberapa hari ke hadapan dengan menggunakan gabungan pelbagai model atmosfera.
“Di rantau kita, Singapura antaranya melalui National Environment Agency (NEA) dan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) turut memanfaatkan maklumat hotspot pergerakan asap dan keadaan meteorologi untuk menilai risiko jerebu rentas sempadan.
“Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa hala tuju seterusnya bukan sekadar mengetahui kualiti udara hari ini, tetapi memberikan masyarakat maklumat tentang risiko yang mungkin dihadapi dalam beberapa hari akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Norazian memberitahu, peralihan daripada pemantauan kepada ramalan sebenarnya bukan sesuatu yang bermula daripada kosong di Malaysia.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah menyediakan platform Operational Air Quality Forecasting for Malaysia (MyCMAQ) yang menghasilkan ramalan kualiti udara secara beroperasi dan memaparkan hasil simulasi pencemar dalam bentuk spatial.
Ujanya, sistem itu menggunakan dua domain pemodelan, iaitu domain Asia Tenggara dan domain beresolusi lebih tinggi yang meliputi seluruh Malaysia, sekali gus membolehkan pergerakan dan taburan pencemar udara dinilai pada skala tempatan serta serantau.
“Kewujudan MyCMAQ menunjukkan bahawa asas kepada ‘predictive air quality management’ sebenarnya sudah tersedia dengan langkah seterusnya ialah memperkukuh integrasinya dengan maklumat hotspot, ramalan meteorologi, trajektori jisim udara dan pemerhatian habuk halus masa nyata supaya amaran jerebu dapat diterjemahkan kepada maklumat risiko yang lebih mudah difahami masyarakat,” katanya.
Norazian berkata, peralihan daripada pemantauan kepada ramalan mungkin tidak dapat menghapuskan jerebu namun ia cukup membantu ketika berdepan masalah berkenaan.
Beliau berkata, pada masa ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hanya mampu memaklumkan situasi semasa bukan ramalan keadaan kualiti udara hari mendatang.
“Hari ini, masyarakat boleh membuka aplikasi atau laman sesawang dan melihat bacaan IPU secara hampir masa nyata. Itu satu perkembangan sangat baik namun IPU pada asasnya memberitahu kita keadaan kualiti udara yang sedang atau telah berlaku,” katanya.-UTUSAN










