Air sungai busuk ganggu kehidupan penduduk

Air sungai busuk ganggu kehidupan penduduk

ROGAYAH Abdul Rani menunjukkan aliran air parit yang dipercayai mengalir dari kawasan tanah persendirian sehingga menyebabkan sungai di belakang rumahnya berbau busuk di Kampung Kayu Ara, Mambau, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk di Kampung Kayu Ara, Mambau di sini berdepan bau busuk setiap hari dipercayai berpunca daripada aliran air dari kawasan persendirian ke sungai berhampiran rumah mereka.

Rogayah Abdul Rani, 69, berkata, bau berkenaan biasa­nya mula dihidu pada waktu senja dan berlarutan sehingga pagi malah kadangkala turut berlaku pada waktu siang.

Menurutnya, keadaan itu sudah hampir sebulan mengganggu kehidupan keluarganya dan dipercayai berpunca daripada aliran air dari kawasan tanah persendirian di belakang rumahnya yang diduduki warga asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara ini sudah sebulan berlaku, sebelum ini tidak pernah ada bau seperti ini. Kami tidak tahu punca sebenar, tetapi mengesyaki ia datang dari kawasan persendirian di atas bukit yang mempunyai aliran air menuju ke sungai ini.

“Jika hujan, bau itu lebih kuat sehingga hilang selera kami untuk makan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kayu Ara di sini semalam.

Rogayah berkata, keadaan itu menyebabkan dia tidak lagi membenarkan cucunya bermain berhampiran sungai yang sebelum ini turut menjadi lokasi penduduk memancing.

“Bau ini sama seperti bau pelepasan sisa najis babi kerana sekitar awal 1990-an, di sini terdapat sebuah ladang babi sebelum dipindahkan untuk membangunkan kawasan Seremban 2,” katanya.

Sementara itu, anak perempuannya, Norafizah Zolkafali, 39, berkata, keadaan berkenaan amat membimbangkan kerana anaknya mempunyai masalah asma dan ekzema.

“Sejak hampir sebulan lalu, bau semakin kuat sehingga anak-anak saya sendiri tidak tahan dengan bau itu. Sebelum ini, parit itu bersih dan airnya jernih.

“Saya telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan tetapi sehingga kini tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya.

Norafizah berharap, pihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi berkenaan bagi me­ngenal pasti punca pencemaran dan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, ia bagi memastikan masalah itu tidak berulang dan tidak menjejaskan penduduk setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini