KOTA BHARU: Projek menaik taraf Jalan Persekutuan FT209 dan FT131 dari persimpangan bertingkat Pasir Hor ke Panchor di sini disifatkan masih berada pada tahap membimbangkan selepas menerima tiga lanjutan masa (E.O.T.) susulan isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan beberapa kekangan lain.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun projek bernilai RM191 juta itu telah melepasi 50 peratus kemajuan, pihak kontraktor perlu mempertingkatkan gerak kerja bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
“Saya mohon kerjasama pihak kontraktor untuk mempertingkatkan gerak kerja kerana sekarang sudah ada tiga E.O.T berikutan isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan sebagainya.
“Jadi, projek ini boleh dikatakan masih dalam tahap merisaukan dan perlu disegerakan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek menaik taraf jalan berkenaan di sini hari ini.
Nanta Linggi memberitahu, kos pengambilan tanah bagi projek itu melebihi RM200 juta membabitkan lebih 300 lot tanah, iaitu lebih tinggi berbanding kos pembinaan projek sebanyak RM191 juta.
Katanya, kerajaan tetap komited memastikan projek sepanjang enam kilometer itu disiapkan kerana penting untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas melalui pembesaran jalan daripada dua kepada empat lorong serta pembinaan jalan bertingkat di kawasan simpang empat.
“Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada September 2027,” ujarnya.
Dalam pada itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya turut mengarahkan kontraktor menggali parit sepanjang 40 meter berhampiran kawasan projek di Panchor sebagai langkah segera mengurangkan masalah banjir sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.-UTUSAN
170626-Klt-BimbangJalan
ALEXANDER Nanta Linggi (dua kiri) melihat perkembangan projek yang dilaksanakan semasa lawatan kerja ke Projek Menaiktaraf Jalan FT209 dan FT131 di Panchor, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
-Habis-










