Sisa makanan, bangkai tarik kehadiran buaya ke pantai - Utusan Malaysia

Sisa makanan, bangkai tarik kehadiran buaya ke pantai

ANGGOTA Perhilitan cuba memasang jerat di Pantai Tanjung Gemok, Port Dickson semalam iaitu lokasi video tular di media sosial yang memaparkan seekor buaya yang naik ke kawasan pantai semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kemunculan seekor buaya dianggarkan sepanjang kira-kira 1.8 meter di Pantai Tanjung Gemok di sini kelmarin seperti yang tular di media sosial menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat dan pemancing.

Seorang penduduk, N.Prabhakaran 34, berkata, dia bersama rakannya  telah bergegas ke lokasi itu selepas dimaklumkan oleh dua orang pemancing yang ternampak kelibat buaya sekitar pukul 11.45 malam kelmarin.

Menurutnya, haiwan reptilia berkenaan tidak bertindak agresif, sebaliknya hanya naik ke darat untuk memakan bangkai yang dipercayai dihanyutkan ke kawasan tersebut sebelum masuk semula ke dalam air.

“Saya sempat merakam video, tetapi buaya itu tidak agresif atau menyerang sesiapa. Ia hanya naik ke darat seketika untuk makan bangkai sebelum masuk semula ke dalam air.

“Ini kali kedua saya nampak buaya di kawasan itu. Kali pertama sekitar hujung tahun lalu, tetapi saiznya lebih kecil,” katanya.

Prabhakaran berkata, kemunculan buaya berkenaan amat membimbangkan memandangkan kawasan itu menjadi lokasi tumpuan pemancing selain sering dikunjungi orang awam.

“Saya risau sebab pada waktu petang ramai orang, terutama kanak-kanak mandi di situ. Selain itu, lokasi buaya itu naik juga merupakan laluan pemancing turun dan naik dari bot. Kalau jadi apa-apa memang bahaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya belum memasang perangkap kerana tiada kelibat buaya dikesan ketika pemeriksaan dilakukan di lokasi berkenaan malam tadi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan turut menemukan kawasan pembuangan sampah yang dipercayai mengandungi sisa makanan atau bangkai haiwan yang berkemungkinan menjadi tarikan kepada reptilia tersebut.

“Buaya mencari makanan dan berkemungkinan terdapat sumber makanan di kawasan itu yang menyebabkan ia naik ke darat.

“Hasil pemeriksaan pasukan Perhilitan semalam juga mendapati buaya tersebut dipercayai sedang memakan bangkai ayam dan bukannya bangkai anjing seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan di lokasi berkenaan dan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya buaya itu muncul semula.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN