Saya bukan calon bermusim - Md. Ezam

Saya bukan calon bermusim – Md. Ezam

MD. EZAM Md. Taslim bersama penyokong PH ketika berkempen di Parit Yaani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Berbekalkan pengalaman lebih sedekad mengendalikan pusat khidmat wakil rakyat, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani menampilkan pendekatan berteraskan kebajikan, pendidikan, ekonomi dan kemudahan asas bagi memperkasakan kesejahteraan penduduk setempat.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, HANAFI ZULKEFLI, bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Parit Yaani, MD. EZAM MD. TASLIM yang merupakan anak jati kawasan tersebu dan percaya pengalaman sebagai pegawai khas DUN sebelum meneruskan khidmat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading telah memberikan pendedahan mencukupi dalam memahami keperluan rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu di peringkat akar umbi.

UTUSAN: Apa bukti anda bukan sekadar ‘calon bermusim’ yang muncul ketika pilihan raya?

MD. EZAM: Saya merupakan anak jati DUN Parit Yaani, berasal dari Kampung Parit Besar dan berusia 49 tahun. Pendidikan awal saya bermula di Sekolah Kebangsaan Bukit Soga sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Sulaiman dan seterusnya memperoleh Ijazah Kejuruteraan Elektrik Kuasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Pada tahun 2015, saya diberi peluang berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani ketika itu, iaitu Aminolhuda Hassan, yang kini merupakan Pengerusi Amanah Johor.

Seterusnya, sejak 2022, saya terus meneruskan khidmat sebagai pegawai khas kepada Ahli Parlimen Sri Gading. Pengalaman tersebut banyak memberi ruang kepada saya untuk mendekati masyarakat serta memahami secara lebih mendalam keperluan dan permasalahan rakyat di peringkat akar umbi.

Lebih penting, sejak 2015 saya telah terlibat secara langsung dalam operasi pusat khidmat wakil rakyat. Saya bukan sekadar hadir ketika musim pilihan raya, sebaliknya telah bertahun-tahun menguruskan aduan rakyat, kebajikan serta isu setempat secara berterusan. Ini bukan kerja bermusim, tetapi tanggungjawab harian yang menuntut komitmen berterusan.

Macam mana perjalanan kempen setakat ini?

Setakat ini, perjalanan kempen berjalan dengan baik dan lancar. Saya melihat sambutan daripada pengundi di peringkat akar umbi amat positif, khususnya apabila kita turun bertemu sendiri dengan masyarakat.

Walaupun terdapat cabaran dari segi jadual yang padat dan kawasan yang luas untuk diliputi, ia bukan penghalang. Dengan sokongan pasukan dan gerak kerja yang tersusun, setiap program dapat dilaksanakan mengikut perancangan. Bagi saya, yang paling penting adalah kesediaan untuk terus mendengar dan mendekati rakyat secara konsisten sepanjang tempoh kempen ini.

Kebajikan menjadi teras kempen anda, apa nilai tambah yang anda tawarkan berbanding calon lain?

Bezanya ialah saya tahu “dapur sebenar” kebajikan. Saya berurusan terus dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan agensi berkaitan ketika saya berada di pusat khidmat.

Saya tahu siapa yang layak, siapa yang tercicir dan bagaimana sistem ini kadang-kadang gagal sampai ke akar umbi. Jadi saya tidak bercakap sebagai pemerhati, tetapi sebagai orang yang sudah berada dalam sistem itu sendiri.

Parit Yaani ada kawasan industri seperti Tongkang Pechah, tetapi rakyat sering rasa mereka hanya jadi penonton pembangunan. Kenapa perkara ini masih berlaku?

Itu isu lama yang perlu diakui. Kawasan industri wujud, tetapi penyertaan rakyat tempatan dalam peluang pekerjaan dan ekonomi tidak seimbang.

Saya mahu pastikan rakyat Parit Yaani tidak hanya melihat kilang dari luar pagar, tetapi masuk sebagai tenaga kerja dan juga usahawan kecil yang mendapat manfaat rantaian ekonomi.

Kalau ini tidak diurus, pembangunan hanya jadi angka, bukan manfaat sebenar.

Mengapa pengundi perlu percaya kepada anda kali ini?

Saya tidak minta percaya hanya kerana manifesto. Saya minta dinilai berdasarkan rekod.

Saya sudah lama bekerja dalam sistem, bukan baru masuk politik. Saya faham kelemahan dan kekuatan pentadbiran di peringkat akar umbi.

Akhirnya, pengundi Parit Yaani yang akan menentukan. Saya hanya menawarkan diri sebagai orang tempatan yang mahu membawa suara mereka dengan lebih berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN