PSM sedar bukan pilihan tetapi optimis

PSM sedar bukan pilihan tetapi optimis

AMIR Syafiq Ameer Soekre (tengah) menyantuni orang ramai ketika berkempen di DUN Skudai sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengakui parti itu turun bertanding sebagai bukan pilihan berbanding parti lain tetapi optimis mampu memperkenalkan perjuangan parti kepada lebih ramai pe­ngundi.

Calon PSM bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Amir Syafiq Ameer Soekre, 40, berkata, beliau menyedari saingan sengit yang bakal dihadapi apabila berdepan calon daripada parti lebih besar seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Tidak dinafikan kami bukan pilihan namun kami ada matlamat besar iaitu memaklumkan kewujudan PSM dalam kancah politik tempatan sebagai wadah perjuangan. Untuk dekati rak­yat, saya akan gunakan kempen hibrid iaitu kaedah konvensional dan atas talian.

“PSM sudah lama angkat isu-isu rakyat masalah pekerja, infrastruktur awam, gaji minimum, warga emas dan lain-lain. Di DUN Skudai, kami akan angkat isu perumahan, alam sekitar dan gaji bermaruah kepada rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Amir Syafiq, PSM mengambil keputusan bertan­ding PRN Johor bagi memperjuangkan nasib rakyat marhaen di negeri ini.

Katanya, perkara itu sejajar hasratnya menyertai parti tersebut sejak lima tahun lalu kerana tertarik dengan konsep perjuangan demi golongan petani, pekerja bawahan, peneroka serta golongan tertindas lain.

“Saya bekerja sebagai seorang eksekutif jualan dan telah bersama PSM selama lima tahun. Saya sertai parti ini kerana tertarik dengan perjuangan mereka demi rakyat bawahan di negara ini.

“Apabila dipilih sebagai calon, saya tidak ragu-ragu menerimanya dengan hati teruja kerana boleh menggunakan platform ini untuk memperjuangkan agenda sosialisme PSM,” katanya.

Tambah Amir Syafiq, DUN Skudai dipilih untuk ditan­dingi parti itu kerana mempunyai demografik masyarakat bandar seperti kelas pekerja dan golongan peneroka bandar yang merupakan sasaran perjuangan pihaknya.

“Kami juga merasakan rakyat Skudai harus berterusan mendapat wakil rakyat yang baik setelah penyandangnya, Marina Ibrahim dipindahkan keluar kerana percaturan politik DAP walaupun telah melakukan kerja yang baik sebagai wakil rakyat” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN