MERBOK: Penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter yang berkuat kuasa hari ini memberi kelegaan kepada pesawah apabila kos membajak sawah turun lebih 30 peratus, daripada RM120 kepada RM80 bagi setiap relung (0.28 hektar).
Pengusaha jentera membajak dan lori di Kampung Sungai Gelam, Azizan Osman, 65, berkata, pengurangan harga diesel itu mampu mengurangkan kos operasi sehingga 50 peratus berbanding musim lalu sekali gus membolehkan kadar upah membajak diturunkan.
Menurutnya, ketika harga diesel melebihi RM4 seliter, pengusaha terpaksa mengenakan caj lebih tinggi bagi menampung kos operasi yang meningkat.
“Musim lalu saya terpaksa mengenakan bayaran RM120 bagi setiap relung. Dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter, tidak mustahil kadar itu boleh diturunkan kepada sekitar RM80 bagi setiap relung pada musim akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azizan yang memiliki tiga jentera membajak berkata, penurunan harga diesel turut mengurangkan tekanan pengusaha yang perlu mengeluarkan modal besar untuk membajak lebih 100 hektar sawah di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok sebelum bayaran diterima selepas musim menuai.
Katanya, pengusaha jentera di daerah itu kini sedang mengadakan perbincangan bagi menyeragamkan kadar upah baharu supaya penjimatan kos dapat dinikmati secara menyeluruh oleh pesawah.
“Bukan sahaja kos membajak malah upah jentuai dan kos pengangkutan juga dijangka menurun berikutan pengurangan harga diesel,” katanya.
Sementara itu, pesawah, Mohd. Noor Hamid, 49, berharap penurunan harga diesel akan diterjemahkan kepada pengurangan kadar upah operasi sawah bagi meringankan beban pesawah.
Katanya, perkembangan itu memberi suntikan semangat kepada pesawah untuk meneruskan musim penanaman, lebih-lebih lagi dengan pelbagai insentif kerajaan yang diyakini mampu meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kos pengeluaran padi.-UTUSAN.










