KANGAR: Seorang pempengaruh media sosial direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol dan merakam gambar pornografi seorang remaja perempuan bawah umur dalam kejadian bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai kasut di Kuala Lumpur itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Yusharifuddin berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 17 Jun lalu selepas suspek didakwa membawa mangsa berusia 14 tahun 11 bulan ke sebuah rumah sewa di Jalan Tiong, Taman Kangar, di sini.
“Susulan itu, suspek dipercayai telah merakam gambar mangsa semasa kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.
Yusharifuddin berkata, semasa berada di dalam bilik, suspek juga telah bertindak mengajak mangsa melakukan hubungan seks.
Katanya, suspek kemudian turut menghantar mangsa pulang ke rumah sekitar pukul 4 pagi.
“Pengadu juga akan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan / 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017,” katanya.-UTUSAN










