Orang muda mahu kahwin tapi tiada duit

Orang muda mahu kahwin tapi tiada duit

ROHANI Abdul Karim (tengah) merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta, wakil UNFPA Malaysia, Dr. Julitta Onabanjo (dua, kanan). – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan mu­da masih mahu berkahwin dan membina keluarga, tetapi pelbagai cabaran termasuk keka­ngan ekonomi, kos sara hidup, pekerjaan, perumahan dan ma­salah kesuburan menyukarkan mereka merealisasikan hasrat berkenaan.

Pengerusi Lembaga Pendu­duk dan Pembangunan Ke­luarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Ro­hani Abdul Karim berkata, golongan muda tidak menolak perkahwinan. Namun mereka memerlukan persekitaran yang lebih meyakinkan bagi merea­lisasikan impian membentuk keluarga.

“Tanggungjawab kerajaan bu­kan untuk menentukan pilihan keluarga mereka, tetapi memastikan setiap pilihan da­pat dibuat secara bermaklumat, bebas daripada tekanan serta disokong oleh peluang ekonomi dan sosial yang lebih baik.

“Golongan muda tidak menolak perkahwinan, bukan menolak hubungan atau keluarga. Aspirasi mereka masih kuat, namun keadaan yang diperlukan untuk merealisasikan aspirasi tersebut semakin sukar untuk diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sam­butan Hari Penduduk Sedunia 2026 bagi mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, semalam.

Menurut Rohani, keadaan berubah dengan cepat berikutan kadar kesuburan yang semakin menurun, populasi semakin berusia serta perubahan struktur keluarga.

Beliau berkata, pada masa sama, golongan muda mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan stabil, pen­­dapatan dan kebebasan kewangan sebelum membentuk keluarga.

Katanya, berdasarkan Tinjauan UNFPA Demographic Futures Survey 2026 yang melibatkan lebih 100,000 individu berumur 18 hingga 39 tahun di 73 negara dan kawasan menunjukkan kebanyakan golongan muda masih belum menolak perkahwinan.

“Lebih daripada dua pertiga menyatakan mereka secara idealnya mahu berkahwin atau tinggal bersama pasangan, sementara sekitar 90 peratus ingin mempunyai seorang anak.

“Namun, keselamatan kewangan, pekerjaan stabil, kos penjagaan yang tinggi dan kesejahteraan emosi mempengaruhi keputusan mereka.

“Dapatan itu menunjukkan bukan berlaku kehilangan minat terhadap kehidupan keluarga, tetapi wujud jurang antara keluarga yang diharapkan golongan muda dengan apa yang mereka percaya mampu dicapai dan dipertahankan,” katanya.

Tambah beliau, dapatan kajian pendapat awam dan tinjauan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menunjukkan golo­ngan muda masih berhasrat membina keluarga, namun memerlukan ekosistem yang lebih menyokong.

Katanya, kadar kesuburan keseluruhan atau Total Fertility Rate (TFR) Malaysia kini berada pada paras 1.6 peratus, iaitu di bawah kadar penggantian penduduk 2.1 peratus.

“Namun, keadaan ini bukan hanya berlaku di Malaysia, malah merupakan trend global misalnya Korea Selatan yang merekodkan kadar kesuburan jauh lebih rendah iaitu 0.9 peratus,” katanya.

Trend sama turut direkodkan di Malaysia apabila Kaji Selidik Persepsi Awam LPPKN mendapati 90.9 peratus responden bujang berhasrat untuk berkahwin, manakala 91.1 peratus mahu memiliki anak pada masa hadapan.

Dalam kalangan pasangan yang telah berkahwin pula, 33.8 peratus masih berhasrat menambah cahaya mata de­ngan purata saiz keluarga yang diinginkan ialah 2.8 orang anak.

“Bagaimanapun, sebanyak 17.6 peratus responden mengakui gagal mencapai bilangan anak yang diinginkan berikutan kekangan pendapatan isi rumah, peningkatan kos sara hidup, tekanan pekerjaan, masalah kesuburan dan faktor kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN