SHAH ALAM: Penempatan haram warga asing yang masih wujud di Jalan Hamzah, Kampung Budiman di sini diarahkan dirobohkan segera.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau mengarahkan tindakan segera dilakukan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya merobohkan penempatan tersebut seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Selangor, minggu lalu.
”Hal tersebut apabila dibangkitkan, saya dengan segera memaklumkan kepada pihak terbabit dan saya percaya tindakan segera akan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pemilik tanah yang diberi notis sebelum ini diberikan ruang yang secukupnya untuk mengambil tindakan perobohan binaan yang wujud atas tapak milik mereka.
“Sebab hal itu berbangkit dan pernah diberikan notis, tetapi kita akan ambil tindakan segera, sama macam kes-kes pembuangan sampah haram. Jadi kita akan ambil tindakan.
“Jika pencerobohan tersebut berlaku di atas tanah milik kerajaan, tindakan perobohan segera akan dilakukan. Tetapi, apabila milik persendirian kita akan minta tuan tanah laksanakan (perobohan) dahulu (selepas notis diberikan),” ujarnya.
Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, semua penempatan haram di negeri ini yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pejabat daerah dan tanah (PDT) perlu dirobohkan.
Ketika itu, Amirudin berkata, ia perlu ditangani dengan sebaik mungkin susulan isu penempatan haram di negeri ini bukan perkara yang baharu dan masalah tersebut perlu diselesaikan.
Minggu lalu, akhbar ini turut melaporkan sekurang-kurangnya seramai 300 orang warga asing dipercayai masih tinggal di 30 rumah kongsi dalam kawasan penempatan haram yang belum dirobohkan di kawasan terbabit.
Penolong Pengarah Kanan Seksyen Operasi Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Zakaria Mat Piah berkata, situasi tersebut dikesan melalui pemantauan yang dilakukan semula oleh pihaknya. – UTUSAN










