PETALING JAYA: Golongan majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sependapat bahawa kerajaan perlu mewujudkan dasar pengurusan pekerja asing yang lebih jelas, konsisten dan telus.
Menurut mereka, perubahan dasar dan syarat yang bertindih berkaitan pekerja asing menyebabkan majikan berdepan kesukaran meneruskan operasi akibat kekurangan tenaga kerja.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing minggu ini perlu memberi keutamaan kepada penyelesaian isu yang telah lama membelenggu industri itu
Katanya, kerajaan perlu mempercepatkan kelulusan pengambilan pekerja asing bagi sektor yang benar-benar mengalami kekurangan tenaga kerja kritikal selain menyelaraskan dasar dan prosedur antara kementerian serta agensi berkaitan.
“Majikan tidak seharusnya terus berdepan pertindihan syarat, perubahan dasar secara mengejut dan kelewatan proses kelulusan yang akhirnya menjejaskan operasi syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia juga memerlukan Pelan Induk Tenaga Kerja Nasional yang komprehensif serta dasar yang stabil dan boleh diramal bagi memastikan pelabur terus yakin terhadap iklim pelaburan negara.
Baru-baru ini, Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing akan diadakan seawal minggu ini bagi meneliti dan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pekerja asing termasuk sektor makanan dan minuman (F&B).
Sementara itu, Penyelaras Gabungan Hak Pekerja Migran untuk Pembelaan (Migrant Workers Right to Redress Coalition), Adrian Pereira berkata, kerajaan juga perlu mempunyai dasar migrasi buruh yang menyeluruh dan tidak lagi melaksanakan pendekatan secara ad hoc.
Katanya, sehingga kini gabungan itu masih menerima ratusan kes penderaan buruh membabitkan ribuan pekerja migran setiap tahun namun penyelesaian oleh agensi berkaitan masih perlahan.
“Kerajaan perlu mempunyai dasar migrasi buruh yang komprehensif termasuk akses kepada keadilan. Jika dasar terus berubah-ubah tanpa rundingan, ia hanya akan menjejaskan sektor buruh negara,” katanya.
Adrian berkata, kelemahan sistem pengurusan pekerja asing ketika ini turut berpunca daripada isu rasuah dalam pemberian kuota, penyumberan luar pekerja asing secara haram serta kurangnya penglibatan masyarakat sivil dan wakil pekerja migran dalam proses pembaharuan dasar.
“Ramai rakyat Malaysia sanggup melakukan pekerjaan yang sama di Singapura, Australia dan Jepun kerana gaji yang ditawarkan jauh lebih tinggi. Majikan pula mengambil pekerja migran yang lebih mudah dieksploitasi untuk mengisi kekosongan tersebut,” katanya.
Mengulas cadangan membenarkan etnik Rohingya bekerja secara sah, Adrian berkata, pelarian yang masih menunggu penempatan semula wajar diberikan hak untuk bekerja supaya mereka dapat berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan kebajikan.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak sepatutnya dihadkan kepada pekerjaan sektor 3D sahaja kerana semua pekerja berhak menerima perlindungan, hak dan faedah pekerjaan yang sama tanpa diskriminasi.
“Jika kerajaan membenarkan mereka bekerja, pelarian Rohingya perlu diberikan perlindungan undang-undang, akses kepada saluran aduan dan mekanisme keadilan bagi mengelakkan eksploitasi,” katanya. – UTUSAN










