Kembalikan pengecualian cukai kereta mewah di Langkawi

Kembalikan pengecualian cukai kereta mewah di Langkawi

LAPORAN Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penggiat pelancongan dan usahawan di Langkawi merayu kerajaan mempertimbang untuk mengembalikan semula status pengecualian cukai sepenuhnya bagi kereta mewah demi kelangsungan pulau peranginan tersebut.

Penasihat Persatuan Niaga Langkawi, Datuk Alexander Isaac berkata, langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada industri automotif malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Beliau berkata, pengecua­lian duti itu sebelum ini berjaya menarik kehadiran pelancong terutama daripada golongan berpendapatan tinggi untuk berbelanja mewah.

“Golongan ini lazimnya menghabiskan masa tiga hingga empat hari di Langkawi dan mereka berbelanja mewah sekali gus meningkatkan perbelanjaan di hotel, restoran, premis perniagaan serta pelbagai sektor perkhidmatan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa Malaysia kerugian sekurang-kurangnya RM400 juta akibat keputusan kerajaan Persekutuan menarik balik keistimewaan bebas cukai terhadap pembelian kenderaan mewah di pulau pelancongan itu.

Tambah Alexander, ramai pembeli kereta mewah datang ke Langkawi bukan sekadar membeli kenderaan malah menyimpannya di pulau itu sehingga mewujudkan pelbagai perniagaan sampingan terma­suk kemudahan penyimpanan yang diusahakan oleh pengusaha tempatan.

“Semua ini mewujudkan kesan limpahan ekonomi penduduk dan industri pelancongan. Sebab itu kami merayu supaya status pengecualian duti bagi kereta dikembalikan kerana manfaatnya bukan hanya kepada penjual kereta, tetapi kepada keseluruhan ekonomi Langkawi,” katanya.

Menurutnya, isu penyalahgunaan yang dikaitkan dengan duti kereta mewah itu wajar diselesaikan dengan memperketatkan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan dan bukannya menarik balik insentif yang telah lama menyumbang kepada pembangunan ekonomi pulau itu.

Sementara itu, Pengerusi Per­satuan Penggiat Industri Pe­lancongan Langkawi (PPIPL), Raseli Yahya berpandangan, isu utama dalam kemelut tersebut bukan hanya mengembalikan status cukai tersebut sebaliknya mekanisma kawalan yang lebih ketat perlu diwujudkan.

“PPIPL tetap berpendirian bebas bahawa cukai harus dilaksanakan dan penambahbaikan harus dikaji mengikut keadaan semasa sebagai tarikan pelancong ke Langkawi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN